Rabu, 27 Mei 2020

Seks luar tabii: Gesa majlis agama mencelah prosiding, jadi pemerhati

Siti Hafidah


Apa untung cabar undang-undang yang beri hukuman lebih ringan?

BANGI – Asakan yang tidak putus-putus terhadap institusi Islam sejak belakangan ini dilihat membawa agenda tersembunyi dan mempunyai objektif tertentu.

Terbaru, seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah atas dakwaan melakukan seks luar tabii mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding mencabar keperlembagaan peruntukan dalam undang-undang Syariah Selangor yang digunakan untuk mendakwanya.

Dalam permohonannya, lelaki itu mencabar keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkenaan ‘persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii’.

Lelaki itu yang juga salah seorang dari 11 yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dilaporkan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, tetapi permohonan itu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Antara asas cabaran tersebut ialah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 telah melampaui bidang kuasanya kerana terdapat peruntukan kesalahan yang sama di dalam Kanun Keseksaan khususnya Seksyen 377 secara berasingan ataupun keseluruhannya.

Lantaran itu, timbul persoalan apakah niat sebenar lelaki berkenaan ataupun sesiapa juga di belakang beliau mencabar Enakmen Syariah dan bukan Kanun Keseksaan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ini kerana cabaran yang dibuat oleh lelaki itu hanya terhadap keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membawa hukuman jauh lebih rendah daripada yang diperuntukkan Kanun Keseksaan.

“Apakah keuntungan yang akan diperolehi beliau apabila mencabar undang-undang yang membawa hukuman lebih ringan berbanding yang lebih berat?… Jika beliau berjaya Seksyen 28 itu tidak lagi boleh digunakan bagi mendakwa mereka di Mahkamah Syariah terhadap orang yang melakukan liwat.

“Seksyen 28 membawa hukuman maksima didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Manakala Seksyen 377A boleh diseksa dengan hukuman yang dinyatakan di dalam Seksyen 377B iaitu dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat atau hukuman dalam Seksyen 377C iaitu diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sebatan di mahkamah syariah sangat ringan berbanding sebatan yang dijatuhkan mahkamah sivil yang mendatangkan kesengsaraan melukakan dan kecederaan.

“Malah golongan LGBTIQ juga dilaporkan mengalu-alukan penghakiman itu kerana berpandangan akan memberi kesan luas terhadap hak serta layanan saksama bagi individu LGBTIQ tanpa merujuk hukuman yang ada di dalam Seksyen 377A hingga C itu lebih berat dari hukuman di dalam Enakmen Syariah.

“Adakah hukuman berat di dalam Kanun Keseksaan itu menggambarkan layanan saksama bagi individu LGBTIQ?” soalnya.

Dalam pada itu, Zainul Rijal menggesa Kerajaan Malaysia serta Majlis Agama Islam Selangor khususnya supaya memohon mencelah dalam prosiding berkenaan apabila merit kes didengar nanti.

“Begitu juga Majlis Agama Islam negeri-negeri lain mengambil peranan aktif memohon kebenaran mencelah atau menjadi amicus curae (pemerhati) untuk sama-sama membantu mahkamah memberi keputusan yang tepat di dalam kes.

“Ini kerana negeri-negeri lain juga mempunyai peruntukan yang lebih kurang sama dengan peruntukan di dalam Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 itu,” katanya.


Tiada ulasan: