PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk merampas kembali pentadbiran Putrajaya daripada Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sambil menegaskan rampasan balik kerajaan adalah perkara wajib kerana ia amanah yang diberikan rakyat ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya nak menegaskan usaha nak ambil alih kembali pentadbiran yang dirampas oleh PN melalui tindakan khianat adalah usaha yang wajib ke atas PH kerana PH diberi mandat oleh rakyat melalui PRU14.
“PH menang pilihan raya lalu itu amanah besar yang mana setelah PH dikhianati, maka kita tidak ada pilihan melainkan berusaha mendapat balik tampuk pemerintahan sepertimana diperjuang oleh ramai rakyat Malaysia, ia bukan soal nak jawatan, nak kedudukan, ini soal memenuhi amanah rakyat,” katanya ketika sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.
Ketika ditanya adakah PH sudah kembali mendapat sokongan majoriti, Khalid berkata, jika kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin mempunyai kekuatan, beliau tidak akan menangguhkan perbahasan sidang Parlimen sehingga Julai termasuk membenarkan usul undi tidak percaya terhadapnya.
“Sepatut selepas dia (Muhyiddin) dilantik perdana menteri, kalau dia ada maruah dia buktikan dia ada sokongan majoriti tapi tunda, sekarang dia sedang fikir macam mana nak hadapi Julai.
“Sama ada diadakan atau tidak kita tengok, silap-silap tunda lagi, memang dia tak yakin dengan sokongan yang ada pada dirinya,” katanya.
Ketika ditanya kesediaan PH menghadapi pembubaran Parlimen jika Muhyiddin hilang sokongan, Khalid berkata parti yang akan terjejas teruk dan akan hancur ialah PPBM jika pilihan raya diadakan.
“Kalau Parlimen dibubar maka PPBM hancur, yang nak Parlimen dibubar Umno dan PAS ini sebab Muhyiddin khuatir kalau dibuat undi tidak percaya, Umno dan PAS akan khianat dia dan tidak hairan kerana dia khianat Dr Mahathir, sama ada bubar Parlimen atau tidak saya yakin bila tiba ketika itu PH dapat sokongan majoriti,” katanya.
Khalid berkata, mana-mana wakil rakyat PPBM pro-Muhyiddin juga akan sedar akan kehilangan kerusi jika pilihan raya diadakan.
“Mereka ini akan kembali kepada PH, begitu juga dengan pihak lain yang khuatir dengan pilihan raya,” katanya.
Calon PM
Mengulas isu siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri jika PH kembali mentadbir Putrajaya, Khalid tidak menamakan individu terbabit.
Khalid berkata PH telah mengenal pasti calon perdana menteri jika gabungan itu kembali menerajui kerajaan persekutuan.
“Hanya satu jawatan perdana menteri, jadi kami hanya ada satu calon. Dia telah dipersetujui semua pihak,” katanya.
Khalid berkata persetujuan dicapai dan perbincangan kini di peringkat perincian dan beberapa perkara tertentu.
“Dahulu sebelum PRU14 kita tak pasti boleh menang, jadi perbincangan
tidak secara terperinci. Kini kita yakin akan kembali berkuasa, jadi
lebih bersedia
menerusi perbincangan awal,” katanya.
Khalid berkata lagi, proses rundingan kini lebih mudah selepas tiada lagi pihak yang mempunyai pandangan berbeza dalam soal peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang sebelum ini dilihat sebagai punca utama.
Beliau juga menafikan PH sedang berpecah termasuk kepada kumpulan pro-Anwar dan Mahathir sebagai perdana menteri.
“Khabar angin itu disebar supaya wakil rakyat yang atas pagar menyokong PN tidak kembali kepada PH,” katanya.
Khalid berkata, PH juga tidak menolak menggunakan cara undang-undang dalam merampas kembali kerajaan, jika Muhyiddin tidak berani membuatnya menerusi usul tidak percaya.
“Masa ini kita nak bagi Muhyiddin peluang, kalau dia manusia bermaruah untuk benarkan undi tidak percaya di Parlimen, kalau dia tidak sanggup maka kita terpaksa guna apa jua cara yang dibenar undang-undang, sekarang kita nak beri ruang dia lakukan apa yang terhormat, kalau dia tak sanggup kita terpaksa melakukan apa yang perlu,” katanya.
Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu, susulan perpecahan yang berlaku, sehingga membawa kepada pembentukan PN pimpinan Muhyiddin yang disertai PPBM, BN, PAS, GPS dan bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan