Rabu, 27 Mei 2020

Warga emas lesu berteman sampah

Abnor Hamizam Abd Manap

Keadaan rumah warga emas di Kampung Seri Rompin yang ditemui tidak bermaya pagi tadi.

WARGA emas, Jaafar Ali Mohd, 78, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dalam rumahnya yang dihuni bersendirian di Kampung Seri Rompin pagi tadi.

Pada masa sama, rumahnya itu turut dipenuhi sampah sarap.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang Smusliadi Sabtu berkata, dia dimaklumkan penduduk jam 9.50 pagi berkaitan kelibat Jaafar yang tidak kelihatan sejak seminggu lalu.

"Saya kemudiannya ke Balai Polis Rompin bagi meminta bantuan sebelum bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seri Rompin pergi ke rumah Jaafar untuk melihat keadaannya.

"Kami terkejut mendapati Jaafar berada dalam keadaan lemah selain dalam rumahnya dipenuhi sampah sarap," katanya.

Menurut Smusliadi, berdasarkan maklumat jiran, Jaafar sebelum ini ada keluar rumah dan sering dilihat ke pekan Rompin, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

"Namun sejak seminggu lalu, kelibatnya tidak kelihatan namun penduduk tidak mengesyaki apa-apa.

Penyelaras DUN Jeram Padang, Smusliadi Sabtu ( dua dari kanan ) ketika melihat keadaan warga emas yang ditemui tidak bermaya di rumah sewanya di Kampung Seri Rompin.
Penyelaras DUN Jeram Padang, Smusliadi Sabtu ( dua
dari kanan ) ketika melihat keadaan warga emas yang
ditemui tidak bermaya di rumah sewanya di Kampung Seri
Rompin.

"Bagaimanapun, hari ini, penduduk yang curiga menghubungi saya untuk memaklumkan perkara ini," katanya dihubungi.

Menurut Smusliadi, jiran Jaafar memaklumkan, warga emas itu tinggal di rumah disewa pada kadar RM30 sebulan sejak 20 tahun lalu.

Smusliadi, anggota polis serta beberapa penduduk kampung berusaha mencari dokumen pengenalan diri Jaafar di rumah itu namun gagal menemuinya.

"Kami hanya menemui surat akuan sekolah di Nyalas bertarikh 24 Julai 1981 dipercayai milik Jaafar.

"Jaafar kini dirawat di Hospital Jempol dan kesnya dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jempol untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut Smusliadi, jika bukan kerana kepekaan penduduk, sudah pasti Jaafar ditimpa perkara tidak diingini.

"Terima kasih kepada penduduk selain semua pihak yang membantu," katanya.


Tiada ulasan: