Isnin, 25 Mei 2020

Kerajaan digesa bincang langkah konkrit pendidikan susulan sekolah terus ‘cuti’

Pelaksanaan PKP menyaksikan guru beralih kepada platform seperti Google
Classroom dan Whatsapp bagi meneruskan kelas. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang pendidik menggesa Putrajaya supaya memulakan perbincangan mengenai norma baru pendidikan berikutan penularan wabak Covid-19 dan tidak terus bergantung pada kaedah pengajaran ad hoc sewaktu sekolah terus ditutup berikutan pelaksanaan perintah sekatan (PKP).

Teo Kon Seong, professor di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, pelajar tidak bersekolah sejak Mac apabila perintah kawalan pergerakan mula dilaksanakan.

Beliau mengambil maklum mengenai inisiatif yang diambil setakat ini tetapi berkata, ia tidak melibatkan semua pelajar.

“Sesetengahnya belajar, sesetengah yang lain tidak. Sebahagian mereka mungkin mempunyai kemudahan internet, sementara yang lain mungkin tidak mempunyai peranti yang diperlukan,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan supaya mewujudkan platform dalam talian bagi membolehkan perbincangan antara pakar dengan ibu bapa tentang kaedah sesuai untuk memastikan pelajar terus memperoleh pendidikan.

“Mereka juga boleh menyenaraikan idea di platform di laman web Kementerian Pendidikan.

“Kementerian boleh pilih idea terbaik untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa semakin resah kerana mereka tidak mendengar mengenai langkah yang diambil oleh kementerian tentang kaedah anak-anak mereka akan mendapat pendidikan.

“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana keadaan yang dihadapi memang tidak dijangka, tetapi pada masa sama kita tidak boleh membiarkan ia berterusan.”

Teo berkata, kerajaan mungkin mengutamakan aspek kesihatan krisis yang dihadapi yang menyaksikan ketua pengarah kesihatan muncul setiap hari untuk memberi makluman tentang keadaan semasa wabak Covid-19.

“Bagaimanapun pendidikan juga sama penting dan orang ramai mahu tahu tentang langkah yang diambil untuk mendidik anak-anak mereka, termasuk daripada sektor pendidikan tinggi,” katanya.

Pelaksanaan PKP menyaksikan guru beralih kepada platform seperti Google Classroom dan Whatsapp bagi meneruskan kelas. Sesetengah Persatuan Ibu bapa dan Murid turut berperanan menghantar nota dan kerja rumah kepada pelajar yang tidak mempunyai sambungan internet.

Teo berkata, ia merupakan idea yang baik, tetapi masih dilaksanakan secara ad hoc.

Katanya, walaupun kerajaan mengumumkan bahawa keutamaan diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, STPM dan peperiksaan lain yang serupa, namun pelajar lain perlu terus belajar kerana mereka mungkin hilang minat setelah bercuti terlalu lama.

“Kita perlu bina semula negara ini bersama-sama dan kita perlu bersedia tentang kemungkinan yang akan berlaku sekiranya krisis ini berpanjangan.”


Tiada ulasan: