Jumaat, 29 Mei 2020

Kuasa, budi bicara Agong tamat kemelut berebut kuasa – Rais

PAKAR undang-undang dan perlembagaan persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyuarakan tiga kemungkinan yang akan berlaku dalam menamatkan kemelut parti-parti politik berebut kuasa untuk menguasai kerajaan.

Pertama, kata beliau, jika gabungan parti politik tertentu mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana telah mempunyai jumlah sokongan ahli parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, baginda tidak semestinya bersetuju atas apa yang disembahkan.

Ia disebabkan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan memberi budi bicara kepada baginda “…yang pada pendapatnya…”.

“Sebaliknya jika di Dewan Rakyat, isu 129 ahli Parlimen (yang didakwa berpihak kepada Pakatan Harapan) itu menjadi kenyataan, mungkin Agong boleh menyetujui Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Namun jika itu berlaku, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh pula mengadap baginda dan menyarankan Parlimen dibubarkan untuk PRU-15…ini pun baginda boleh perkenan atau tolak di bawah Perkara 40(2)(b),” kata beliau kepada SUARA MERDEKA
hari ini.

Blogger PH, Shahbudin Husin mendakwa, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru dipecat dari BERSATU dikatakan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana telah mempunyai jumlah sokongan yang cukup ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

Dakwa blogger itu, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan bagi mengantikan Perikatan Nasional (PN).

Dari segi bilangan ahli parlimen atau nombor yang ada, berapa jumlahnya sama ada 113, 115, 120 atau 129 bukanlah perkara mustahak kerana yang penting ia lebih daripada jumlah minimum 112, kata Shahbudin.

Rais menarik perhatian, sebelum ini dalam peristiwa “Sept. 16”, Anwar juga mengakui mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri tetapi buntu kerana terbuki ia tidak benar.

“Jika Agong enggan dengan asakan Tun Mahathir dan Anwar, keputusan undian di Dewan Rakyatlah yang paling berkesan. Hal ini tidak boleh diganggu oleh pihak Diraja.

“Persoalannya, sidang Dewan Rakyat hanya pada 13 Julai. Jadi, untuk kata putus dalam tempoh terdekat tidak mungkin,” kata beliau.

Kata Rais lagi: “Dan sayang sekali Tun Mahathir lebih memihak kepada PKR dan DAP dan tidak kepada partinya sendiri.

“Di sini tampak juga beliau tak berapa menekankan lagi prinsip BERSATUnya untuk agama bangsa. Bagaimanapun, itu pilihan bekas Perdana Menteri Malaysia ketujuh yang baru diambil tindakan oleh partinya sendiri (dipecat dari BERSATU).

“Sayang sekali dalam konteks Covid-19 dan kepayahan ekonomi rakyat, Tun Mahathir dan pimpinan pembangkang macam kurang ambil hal.” -SM


Tiada ulasan: