Jumaat, 8 Mei 2020

Sidang Parlimen: Hentikanlah politik kotor dengan agenda peribadi

Siti Hafidah 

 

Rakyat mengharapkan sidang bincang isu kebajikan sepanjang PKP

BANGI – Sudah tiba masanya cara politik lama yang kotor, saling bertelagah, mengenepikan kepentingan rakyat dan hanya memberikan fokus kepada agenda peribadi serta parti dihentikan segera.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, ketika pihak kerajaan masih sibuk menguruskan kestabilan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan, pihak pembangkang dilihat amat bertenaga dan agresif.

“Mereka mula mendesak persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membincangkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dilantik secara sah oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Sebenarnya, seluruh rakyat amat mengharapkan supaya jika persidangan Parlimen mampu dibuat secepat mungkin, tajuk utama yang akan dibincangkan bersama secara kolektif oleh kedua-dua belah pihak ialah berkenaan kebajikan rakyat sepanjang tempoh PKP yang tersisa dan masa depan negara berhadapan dengan kebiasaan baharu pasca COVID-19.

“Rakyat juga amat berharap sidang Parlimen mengusulkan cadangan, berdebat dan membuat polisi bagi pembangunan ekonomi negara yang menyeluruh buat manfaat setiap lapisan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak membiarkan kerajaan sahaja melakukan semua perkara ketika berdepan ancaman COVID-19.

Tegasnya, setiap ahli Parlimen yang dilantik dengan mandat dari rakyat perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam menjayakan perkara berkenaan.

Muhammad Lukman berkata, fokus semua pihak tidak kira pembangkang mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepatutnya ialah untuk menampung dan mendukung kekurangan kerajaan demi kebajikan rakyat secara kolektif.

“Kita semua sedia maklum kerajaan sedia ada yang baru saja dibentuk telah melakukan yang terbaik dan terbukti amat berkesan membendung penyebaran coronavirus di negara kita. Ya, prestasi Malaysia diiktiraf dunia

“Kegawatan ekonomi dunia yang melanda pada masa yang sama juga diharungi Malaysia dengan bijak dan meyakinkan hasil kepimpinan politik dan pakar kewangan yang memegang tampuk kementerian kewangan. Ini dipuji sendiri oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia

“Justeru, janganlah kita bermain politik kotor dan cuba mensabotaj kerajaan sedia ada yang telah dilantik secara sah dan terbukti berprestasi amat baik sepanjang dua bulan yang pertama ini,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan memohon Speaker Dewan Rakyat mengizinkan beliau membawa usul dan mengemukakan resolusi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam surat yang ditujukan kepada Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 4 Mei, Dr Mahathir mahu mencadangkan usul mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh, tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.


Tiada ulasan: