Jumaat, 8 Mei 2020

Jika masuk secara haram, PATI tetap PATI, kata Ismail Sabri

Operasi Jabatan Imigresen ke atas PATI di kawasan PKPD di Plaza 
City One, Malayan Mansion dan sekitar Masjid India menyaksikan 
3,352 individu diperiksa.
 
PETALING JAYA: Tindakan undang-undang yang diambil terhadap warga asing tanpa dokumen dibuat untuk memberi mesej jelas kepada masyarakat dan warga asing bahawa undang-undang negara kekal berdaulat walaupun negara berdepan ancaman wabak Covid-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, tuduhan badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara bahawa tindakan Malaysia menghantar pulang 586 warga asing tanpa dokumen zalim adalah tidak benar.

Menurutnya, layanan diberikan Putrajaya terhadap mereka semasa ditahan tetap sama seperti warga asing lain yang memiliki dokumen perjalanan sah.

“Saya hendak beritahu, status pendatang asing tanpa izin (PATI) ini sama. Bila mereka masuk, mereka bukannya dapat kebenaran masuk dan status perjalanan adalah secara haram.
“Bagi yang masuk secara haram ini tidak kiralah masuk selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) atau tidak, undang-undang kita sama sahaja.

“Kalau kata kita zalim sebenarnya tidak betul. Tindakan kita konsisten. Walaupun mereka PATI, kita jaga mereka dengan baik. Kita buat ‘swab test’ yang sama dengan rakyat Malaysia yang lain, layanan juga sama, semua dapat makanan yang sama.

“Cumanya mereka yang ada pas kebenaran, bebas bergerak untuk bekerja.

“Kita tidak boleh lepaskan mereka hanya kerana mereka datang ke dalam negara ketika Covid-19.
Tidak boleh begitu, kerana akan hantar signal yang salah, bukan sahaja kepada rakyat kita yang mahukan tindakan tegas, tetapi juga kepada bakal PATI. PATI tetap PATI,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama, malam ini.

Terdahulu, operasi Jabatan Imigresen ke atas PATI di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Plaza City One, Malayan Mansion dan sekitar Masjid India menyaksikan 3,352 individu diperiksa.

Seramai 586 ditahan atas kesalahan imigresen dan dihantar ke depoh tahanan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pada masa ini Putrajaya tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan semula PKP di seluruh negara, seperti dilakukan dalam fasa 1 sebelum ini sekiranya berlaku penularan wabak Covid-19.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan hanya akan menumpukan langkah kawalan ke atas lokaliti yang berdepan jangkitan sahaja.

“Kalau berlaku ‘spike’ (lonjakan) melibatkan satu-satu kluster, kita akan fokuskan kepada kluster tersebut. Sekarang kita akan fokuskan kepada lokaliti. Katakan berlaku ‘spike’ di Kampung Baru, Kuala Lumpur, maka tidak perlu perketatkan sehingga ke Perlis. Jadi tidak adil kepada rakyat Perlis,” katanya.

Sementara itu, Ismail juga berkata, secara prinsipnya Putrajaya bersetuju untuk mengarahkan mana-mana organisasi ditutup sekiranya terdapat kakitangan mereka disahkan positif wabak Covid-19, bagaimanapun ia akan menunggu keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.

“Kita perlu dapatkan keputusan KKM, tetapi dari segi prinsipnya begitu. KKM mungkin lihat ada cara lain, mungkin ada 1 kes, maka kes itu sahaja dikeluarkan dan rawat di hospital. Walau apa pun keputusannya, kita melihat setiap satu kes (secara teliti),” katanya.

Tiada ulasan: