Rabu, 6 Mei 2020

Perak tetap larang pelanggan makan di restoran, aktiviti sosial di taman

Ahmad Faizal Azumu menasihatkan pengusaha premis makanan 
membuat persediaan sebelum kerajaan Perak membenarkan 
pelanggan makan di premis.
 
IPOH: Kerajaan Perak tetap dengan keputusan tidak membenarkan orang ramai makan di premis makanan seiring pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) oleh kerajaan pusat yang berkuat kuasa kelmarin.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu hanya akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri dapat memastikan semua pihak berkepentingan mampu mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

Beliau dalam satu kenyataan semalam berkata, larangan yang turut merangkumi aktiviti sosial di taman awam itu dibuat selepas mengambil kira keperluan ekonomi dan aktiviti sosial serta ancaman Covid-19.

Kelmarin, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri mungkin berisiko dikenakan tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya pihak industri jika menghalang mana-mana syarikat memulakan operasi mulai Isnin lalu.
Katanya, kerajaan pusat memandang serius pendirian beberapa kerajaan negeri yang ingkar untuk membuka semula ekonomi.

PKPB yang bermula Isnin lalu membenarkan sebahagian besar perniagaan beroperasi, selain aktiviti sosial mengikut syarat.

Sementara itu, Faizal menasihati pengusaha premis makanan mengambil langkah persediaan sebelum kerajaan negeri membenarkan pelanggan makan di premis mereka.

Mengenai penggunaan taman awam, katanya, kerajaan negeri perlu memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai pasukan penguat kuasa mencukupi untuk ditempatkan di kawasan terbabit bagi memantau pematuhan SOP di bawah PKPB.

Beliau berkata, amalan lama seperti pengunjung yang ramai ketika beriadah tidak lagi sesuai diteruskan dalam normal baru susulan penularan Covid-19.

Tiada ulasan: