Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri memutuskan PKPB dilaksanakan serta-merta selepas ditangguhkan sebelum ini bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Putrajaya menepati keperluan negeri.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga ada kuasa untuk buat sedikit penyesuaian mengikut keperluan setempat. Jadi, di Kedah kita putuskan premis makanan boleh beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, tetapi makan di kedai masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.
“Sepanjang Ramadan ini, premis makanan orang Islam boleh beroperasi bermula 3 petang hingga 8 malam dan untuk bungkus, pandu lalu dan penghantaran saja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Covid-19 di Wisma Darul Aman semalam.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pembukaan semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal melalui PKPB mulai 4 Mei lalu.
Di Kota Bharu, kerajaan Kelantan memutuskan PKPB dilaksanakan mulai hari ini dengan 36 sektor ekonomi akan kembali beroperasi mengikut SOP kerajaan persekutuan dan negeri.
Menteri Besar, Ahmad Yakob berkata antara sektor ekonomi yang dibenarkan kembali beroperasi termasuk restoran, medan selera, pusat penjaja dan gerai makan tepi jalan yang beroperasi dari 3 petang hingga 6 petang pada bulan Ramadan, dan 7 pagi hingga 10 malam pada bulan biasa.
Selain itu, perkhidmatan dobi layan diri dibenarkan beroperasi dari 9 pagi hingga 6.30 petang dan sektor perhotelan boleh dibuka 24 jam bagi premis penginapan, namun operasi restoran hotel dibenarkan dari 6.30 pagi hingga 9 malam saja.
“Sektor awam pula akan beroperasi sepenuhnya bermula Jumaat ini (8 Mei),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas di Kompleks Kota Darul Naim semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan