Rabu, 6 Mei 2020

Menteri saran pasang CCTV di tapak binaan pantau pemaju patuh SOP

Fadillah Yusof berkata, Kementerian Kerja Raya menggalakkan 
pemaju menggunakan teknologi IBS dalam usaha mengurangkan 
kebergantungan pekerja asing dalam sektor pembinaan.
 
PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof mencadangkan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tapak pembinaan dalam usaha memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi.

Katanya, CCTV itu dapat digunakan untuk tujuan kecemasan dan kontraktor, pemaju serta agensi kerajaan berkaitan dapat memantau perkembangan projek berdasarkan masa sebenar.

“Untuk kawal selia, mungkin kita boleh gunakan digital. Mungkin di tapak pembinaan sekarang ini kita boleh letakkan CCTV yang boleh digunakan untuk memantau dan dapat melihat perkembangan dalam tempoh waktu sebenar di tapak pembinaan.

“Jika berlaku kecemasan, orang boleh tahu dengan cepat. Ini mungkin boleh dilaksanakan kerana laporan diterima dalam tempoh waktu sebenar antara kontraktor, pemaju dan agensi kerajaan,” katanya dalam sebuah program televisyen malam tadi.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali dilaporkan berkata, sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa 1, 2 dan 3 kini boleh beroperasi sepenuhnya.

Katanya, sektor ekonomi itu turut dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing bermula 29 April lalu dan syarikat yang diluluskan untuk beroperasi sebelum ini tidak perlu memohon kepada kementeriannya untuk mendapatkan kebenaran itu.

Sementara itu, ditanya apakah usaha Putrajaya untuk mengatasi kebergantungan pekerja asing dalam sektor pembinaan, Fadillah berkata, kementeriannya ketika ini menggalakkan pemaju menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Untuk kurangkan kebergantungan pekerja asing adalah dengan menggunakan pendekatan baru, iaitu teknologi.

“Sebab itu kita galakkan industri pembinaan gunakan IBS sebab IBS tidak memerlukan pekerja yang ramai, dengan itu kebergantungan terhadap pekerja asing dapat kita kurangkan.”

Katanya, teknologi IBS memerlukan pekerja mahir dan beliau menggalakkan rakyat tempatan menceburi bidang ini menerusi program latihan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Kementerian Kerja Raya meneruma laman webnya menyatakan IBS menggunakan teknik, produk, komponen atau sistem pembinaan melibatkan pemasangan komponen binaan di tapak pembinaan.

Penggunaan IBS menjanjikan kelebihan seperti pengurangan pekerja dan bahan binaan di tapak, pengurangan pembaziran bahan binaan, alam sekitar dan tapak binaan lebih bersih, kawalan kualiti lebih baik, tapak pembinaan lebih teratur dan selamat serta tempoh pembinaan lebih singkat.

Tiada ulasan: