Jumaat, 8 Mei 2020

Kereta terputus dua, tiada maut


JOHOR BAHRU : Sebuah kereta terputus dua dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata ketika kejadian jam 9 malam tadi, kenderaan yang dipandu lelaki berusia 26 tahun itu terputus dua selepas terlanggar tembok pembahagi jalan.

Katanya, mangsa cuba mengelak daripada berlanggar dengan sebuah kereta di hadapannya apabila kenderaan itu berhenti secara tiba-tiba.

"Ketika mangsa (pemilik kereta yang terputus dua) memandu di lorong tengah tiba-tiba sebuah kereta tidak pasti yang berada di depan kenderaan mangsa brek mengejut, menyebabkan mangsa mengelak ke kanan lalu melanggar tembok pembahagi jalan dan kenderaannya berpusing dan terputus kepada dua bahagian.

"Kemudian, seorang pemandu kereta lain kemudian telah melanggar serpihan kenderaan mangsa.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu kereta berusia 19 tahun yang melanggar kenderaan mangsa mengalami sakit dada," katanya ketika dihubungi mengulas kejadian.

Kes diklasifikasi di bawah Peraturan 10 LN166/59.

Sejak malam tadi, kejadian kemalangan membabitkan kereta terputus dua menjadi viral di laman sosial dengan lebih 4,500 tanda pelbagai reaksi serta hampir 700 perkongsian.

Tiada ulasan: