Jumaat, 8 Mei 2020

Kuala Langat daerah pertama zon hijau Selangor


SHAH ALAM: Kuala Langat menjadi daerah pertama diisytiharkan zon hijau COVID-19 di Selangor selepas tiada lagi pertambahan kes aktif di kesan di sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Daerah berkenaan pada Rabu merekodkan empat kes aktif manakala secara keseluruhan adalah sebanyak 32 kes.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di laman web menteri besar, amirudinshari.com, tiga daerah masih dikategorikan sebagai zon merah iaitu Gombak dengan 84 kes aktif; Hulu Langat (57) dan Petaling (49).

Selain itu, lima daerah lain iaitu Sabak Bernam (1), Kuala Selangor (13), Klang (14), Hulu Selangor (3) dan Sepang (1) masih berada dalam zon kuning.

"Kes positif terbaru COVID-19 di mukim Hulu Yam menjadikan daerah Hulu Selangor kembali berubah status kepada zon kuning.

"Ini menjadikan jumlah mukim yang berada pada Zon Hijau bertambah daripada 31 ke 32. Pada masa sama juga, Daerah Kuala Langat menjadi daerah pertama yang memegang status sebagai Zon Hijau. Teruskan kecemerlangan ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, mengucapkan tahniah kepada warga Selangor susulan Kuala Langat menjadi daerah pertama memegang status zon hijau.

"Kuala Langat menjadi daerah pertama di Selangor yang menjadi zon hijau. Tahniah warga Selangor dan teruskan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD)!," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sehingga semalam, Selangor merekodkan jumlah kes terkumpul sebanyak 1,580 dengan 222 kes aktif dan pertambahan 16 kes baharu.

Malah, negeri ini turut merekodkan sebanyak 1,297 kes sembuh dengan 20 kematian setakat semalam.

Tiada ulasan: