PETALING JAYA: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan segera mewartakan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 untuk membolehkan syarikat terbabit dengan kegiatan rasuah didakwa di mahkamah.
Ia susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki semalam yang agensi itu sedang meneliti cadangan menangguhkan pelaksanaan Seksyen 17A yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Jun ini.
Presiden TI-M, Muhammad Mohan menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan mewartakan Seksyen 17A untuk dilaksanakan mulai bulan depan seperti dijanjikan.
“Sejak pindaan kepada Akta SPRM pada April 2018 dilakukan kerajaan Barisan Nasional bagi memasukkan undang-undang ini, SPRM bergerak secara agresif dengan memberi pengetahuan, tunjuk ajar dan sokongan kepada semua organisasi komersial agar pematuhan dapat dilaksanakan.
“Beberapa syarikat juga telah mengamalkan garis panduan ‘tatacara mencukupi’ dan melaksanakan kawalan dan prosedur pencegahan rasuah.
“Kerajaan dan SPRM patut meneruskan momentum ini kerana ianya terbukti langkah efektif membanteras gejala rasuah di peringkat korporat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seksyen 17A Akta SPRM yang diluluskan Parlimen pada 5 April 2018, menyatakan syarikat yang terbabit rasuah boleh didakwa, jika individu yang dikaitkan dengan entiti komersial itu memberi, berjanji atau menawarkan rasuah untuk mendapat atau mengekalkan perniagaan.
Ia memperuntukkan denda RM1 juta atau 10 kali ganda nilai suapan, dan/atau hukuman penjara.
Ketika ini, Akta SPRM 2009 hanya tertumpu kepada pendakwaan ke atas individu terbabit rasuah.
Semalam, Azam dilaporkan berkata, terdapat permintaan khasnya daripada syarikat yang belum bersedia dengan pelan anti-rasuah bersesuaian dan mereka juga sedang menghadapi masalah perniagaan merudum susulan penularan Covid-19.
“Mereka meminta tempoh lebih kurang satu tahun untuk menjana semula perniagaan mereka sebelum melaksanakan Seksyen 17A ini.
“Saya memberi jaminan cadangan ini memang akan kami pertimbangkan sebaiknya, walaupun kami sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Seksyen 17A ini,” katanya kepada Bernama.
Hari ini, Muhammad berkata, tinjauan Institut Tadbir Urus Korporat (MICG) terhadap 100 syarikat tersenarai teratas di Malaysia mendapati hanya 54% syarikat bersedia dengan tatacara mencukupi.
“Ini merupakan petanda baik di mana syarikat-syarikat ini faham mengenai Peruntukan Liabiliti Korporat dan pentingnya tatacara mencukupi. Ini memberi bayangan positif ianya tidak harus ditangguh lagi dan harus dilaksanakan mengikut jangka masa ditetapkan agar syarikat-syarikat tidak goyah dengan tanggungjawab mereka.
“SPRM juga boleh mengambil United Kingdom sebagai contoh terbaik, di mana sewaktu pelaksanaan UK Bribery Act 2010 yang dikuatkuasakan pada 2011, sabitan pertama hanya dilakukan 5 tahun selepas itu.”
Muhammad berkata, permintaan menangguhkan pelaksanaan Seksyen 17A akibat penularan Covid-19 boleh dipertimbangkan, tetapi ia patut dilaksanakan dalam tahun ini bagi mengelakkan pandemik itu menjadi punca berlaku rasuah disebabkan kebanyakan syarikat kecil menghadapi impak ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan