Sabtu, 2 Mei 2020

ERL tawar perkhidmatan terhad bermula Isnin

ERL sebelum ini menghentikan perkhidmatannya pada 4 April 
selepas merekodkan bilangan penumpang sangat rendah semasa 
fasa 1 PKP dari 18 hingga 31 Mac. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan memulakan jadual perkhidmatan terhad mulai Isnin ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini untuk membenarkan kebanyakan perniagaan kembali dibuka dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa 4.

ERL dalam kenyataan di sini hari ini berkata, ia juga akan menggabungkan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, dari 6 pagi hingga 11 malam setiap hari.

“Tren akan beroperasi dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak pada hari kerja dan setiap 30 minit di luar waktu puncak, hujung minggu dan cuti umum negara.

“Pada bulan Ramadan, waktu puncak petang akan diselaraskan pada jam 4 hingga 6 petang untuk memberi lebih banyak masa kepada orang ramai pulang dengan selamat untuk berbuka puasa dan tiada perkhidmatan tren sebelum 6 pagi dan selepas tren terakhir berlepas pada 11 malam,” menurut kenyataan itu.
Ia juga berkata, waktu perjalanan antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah 35 minit (KLIA2: 39 minit) dan di KL Sentral, semua pelepasan dan ketibaan akan melalui Stesen Transit KLIA.

Sementara itu, jadual perkhidmatan terhad itu akan berkuatkuasa selama sebulan dan ia akan dikaji semula dan diselaraskan sekiranya perlu untuk memenuhi pertambahan bilangan penumpang, kata ERL.

“Jadual baru itu akan diterbitkan 5 hari sebelum dikuatkuasakan, selepas berunding dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

ERL sebelum ini menghentikan perkhidmatannya pada 4 April lalu selepas berunding dengan pihak berkuasa berkaitan selepas merekodkan bilangan penumpang yang sangat rendah semasa fasa 1 PKP dari 18 hingga 31 Mac.

Menurut kenyataan itu, ERL mengamalkan langkah keselamatan perjalanan semasa pelaksanaan PKP, termasuk menasihatkan penumpang memakai penutup hidung dan mulut ketika menaiki tren dan menggalakkan mereka menggunakan sistem tanpa tunai untuk pembelian tiket.

Syarikat itu juga berkata jadual penuh tren dan kemas kini mengenai langkah berjaga-jaga, penumpang boleh layari www.KLIAekspres.com atau KLIA Ekspres Facebook.

Untuk pertanyaan berhubung pemulangan semula bayaran dan bantuan lebih lanjut, penumpang boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8:30 pagi – 6 petang waktu tempatan), menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: