Selasa, 10 Disember 2019

Rakyat Malaysia antara 24 hilang dalam letusan gunung berapi

fazleen safina

 

Gunung Berapi Putih antara paling aktif di New Zealand


WELLINGTON – Pelancong dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom (UK) dan China antara mangsa yang hilang susulan ledakan Gunung Berapi Putih di White Island.
 Perkara berkenaan disahkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden.

Media antarabangsa melaporkan, seramai 47 pelancong pergi ke pulau berkenaan dan daripada jumlah itu, lima terbunuh dan lapan lagi mangsa masih belum ditemui.

Katanya lagi, manakala 31 dirawat di hospital dan tiga lagi telah dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam satu sidang media di Whakatane hari ini, Penguasa Polis Waikato, Bruce Bird mendakwa, lapan mangsa yang hilang dianggap telah terkorban.

Bird berkata, polis sedang berusaha untuk pergi ke pulau itu bagi mencari mangsa yang masih hilang.

Bagaimanapun, katanya, operasi mencari hanya akan dilakukan sekiranya keadaan benar-benar selamat.

Sementara itu, Arden mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan polis, helikopter penyelamat dan pesawat Pasukan Pertahanan New Zealand (NZDF) telah melakukan beberapa penerbangan tinjauan udara di sekitar pulau itu sejak letusan berkenaan.

“Tiada tanda-tanda mangsa selamat dapat dilihat di mana-mana,” katanya.

Bencana itu turut menimbulkan tanda tanya mengapa orang ramai dibenarkan melawat pulau itu yang terletak 50 kilometer dari New Zealand, walaupun para saintis mencatatkan peningkatan aktiviti gunung berapi sejak kebelakangan ini.

Selain itu, Gunung Berapi Putih yang meletus itu adalah antara paling aktif di New Zealand.

Letusan terakhir gunung berapi berkenan adalah pada tahun 1914 yang mengorbankan 12 pelombong sulfur dan terdapat juga letupan singkat pada April 2016.

White Island menjadi tanah rizab swasta pada 1953 dan lawatan harian membenarkan lebih daripada 10,000 pelancong melawat gunung berapi itu setiap tahun. – Agensi

Tiada ulasan: