Dibimbangi utama kepentingan diri lebih dari rakyat
1. DUA orang lelaki
pernah bertemu Rasulullah ﷺ lalu meminta daripada Baginda ﷺ supaya
diberikan kuasa sebagai pemimpin. Rasulullah ﷺ menegur mereka dengan
berkata:
إِنَّا لاَ نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ، وَلاَ مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ
“Kami tidak memberikan urusan
kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan
kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya.” (HR al-Bukhari)
2. Seorang tokoh sufi yang terkenal
pernah berpesan bahawa sifat gilakan kuasa ini akan merosakkan peribadi
seseorang. Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang akan menjadi hasad
dengki bahkan suka mencari keaiban manusia lain. Kata Fudail ibn Iyyad:
ما من أحد أحب الرئاسة إلا حسد وبغى ، وتتبع عيوب الناس ، وكره أن يُذكر أحد بخير
“Tidak ada seorang lelaki yang
gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan
kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut
kebaikan orang lain.”
3. Malah Abu Daud al-Sijistani melihat
sifat ini sebagai salah satu daripada penyakit atau menggelarkannya
sebagai syahwat yang tersembunyi. Beliau pernah ditanya tentang nafsu
atau syahwat yang tersembunyi ini:
قيل لأبي داود السجستاني: ما الشهوة الخفية؟ قال: حب الرئاسة.
“Abu Daud pernah ditanya berkenaan
dengan apa yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyai ini?
Lalu dia berkata: (mereka yang) cintakan kuasa.
4. Atas dasar itu al-Imam Abu Ayyub
al-Sakhtiyani berpesan bahawa mereka yang cintakan kemasyhuran dan
kepimpinan ini adalah mereka yang sukar dipercayai. Kata beliau:
ما صدق عبد قط فأحب الشهرة
“Tiada yang benar langsung buat si hamba yang mencintai kemasyhuran.”
5. Berhati-hatilah dengan mereka yang
terkena penyakit ini. Kecintaan terhadap kuasa akan mengaburi mereka
dari kebaikan. Adalah dibimbangi kepentingan diri sendiri lebih mereka
utamakan dari kesusahan rakyat. Amat sukar mencari pemimpin yang bangkit
mengutamakan rakyat dari diri sendiri.
Semoga Allah membimbing kita.
Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan