Oleh Fazleen Safina
Datuk Nadzim tempelak cadangan mahu jadikan arak item bebas cukai
BANGI
– “Kalau arak baik, promosilah di tadika atau sekolah rendah,” sindir
ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim
Johan.
Beliau berkata demikian mengulas
kenyataan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing
bahawa minuman keras sedia dipertimbangkan untuk dijual di Pulau Pangkor
yang bakal diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai menjelang Januari
2020.
“Mungkin akan ada tempat-tempat tertentu
yang boleh (jual) atau jika tiada permintaan, kita takkan jalan atau
benarkan arak sebagai barangan bebas. Setakat ini, arak sahaja tidak
disenaraikan dalam barangan bebas cukai,” katanya.
Walaupun belum dimuktamadkan, Datuk
Nadzim berkata, minuman memabukkan itu yang jelas tiada sebarang
kebaikan diperoleh melalui promosinya, hanya menambahkan beban
kemudaratan kepada rakyat.
“Jadi, benda yang tak sesuai dalam
masyarakat, yang boleh kena saman, kalau mabuk boleh jadi rosak dan kena
langgar mati, tak perlulah dipromosikan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Pada masa sama, Datuk Nadzim berkata,
pihaknya hairan kerana rokok elektronik (vape) telah diharamkan, namun
arak tidak pula diharamkan.
“Kita semua tahu rokok tak beri manfaat,
tetapi kita tak pernah jumpa lagi orang mati disebabkan hidu asap rokok.
Tetapi, orang minum arak memang beri kesan buruk kepada pengguna jalan
raya lain hingga bawa mati disebabkan mabuk,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat banyak barangan lain yang wajar dijadikan item bebas cukai selain arak.
“Ini negara Islam dan kenapa perlu ada
benda-benda seperti ini? Kenapa perlu ada benda yang bercanggah dengan
hukum Islam?,” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan