SEMALAM peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melahirkan rasa hairan bagaimanakah seseorang yang sudah dijatuhkan hukuman gantung boleh diberikan akses untuk bertemu seorang individu ternama ‘VVIP’ di luar penjara Kajang.
Banduan yang dimaksudkan oleh Shafee adalah bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang menunggu hukuman gantung selepas didapati membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
“Pertemuan antara Azilah dan VVIP ini telah mengambil tempat pada awal Februari tahun ini.
Bagaimanakah seorang banduan hukuman gantung boleh keluar dan bertemu VVIP ini di luar?
Bagaimana ini berlaku?
“Tentunya saya tidak dapat sahkan maklumat ini tetapi pemberi maklumat yang boleh dipercayai. Pertemuan ini bukan dalam penjara sebaliknya luar penjara. Apabila seorang banduan yang sudah ditetapkan hukuman gantung, bagaimanakah dia boleh di bawa keluar begitu?
“Ini sudah melanggar undang-undang dan protokol. Saya sedang tunggu pengesahan rasmi ketika ini,” katanya kepada pemberita.
Sebagai orang yang berpengalaman luas dan arif dalam bidang perundangan, tidak mungkin Shafee sesuka hati mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan itu.
Jika perkara itu benar-benar berlaku seperti didakwa, nampaknya ‘peristiwa hitam 1989’ pasti akan kembali mencalarkan imej negara.
Kisahnya begini.
Akhbar Malay Mail pada 19 Ogos 1989 secara eksklusif membuat pendedahan ‘berani mati’ bagaimana seorang ahli perniagaan bernama Abdullah Ang mendapat layanan ‘SUPER VVIP’ ketika ditahan di Penjara Kajang.
Selain biliknya siap dilengkapi peti sejuk, karpet, perakam video dan tilam air khas (waterbed), Abdullah juga dilihat keluar masuk Penjara Kajang – macam Penjara Kajang tu dia punya!
Untuk rekod, Abdullah Ang pernah dilantik menjadi Ketua Eksekutif Perbadanan Pelaburan Seberang Laut Malaysia (MOIC) dan mempunyai ramai kenalan rapat di kalangan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan.
Abdullah Ang telah dihukum penjara lapan tahun dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Disember 1986 (diringankan kemudiannya atas rayuan) setelah dia mengaku salah atas tuduhan pecah amanah yang melibatkan RM 338,808.80.
Kira-kira lagi dua hari sebelum dibebaskan dari penjara, kelibat Abdullah telah dilihat di pusat bandar Kuala Lumpur! Abdullah ketika itu memakai t-shirt dan seluar putih. Sampai saja ke pengetahuan Malay Mail, editornya telah menghantar wartawan dan jurugambar mereka untuk menjejaki banduan bernama Abdullah Ang ini.
Dalam laporan Malay Mail itu juga memperlihatkan bagaimana Abdullah dengan selamba berada di kilang pakaian keluarganya. Malah tidak ada juga sebarang wadar atau pegawai penjara yang mengiringinya ketika itu
Apa yang berlaku begitu mengejutkan rakyat Malaysia kerana bagaimana Abdullah, seorang banduan, boleh dilihat keluar masuk dari penjara dan bagaimana kelengkapan selnya begitu hebat seolah-olah dalam sebuah hotel!
Namun ketika jurugambar Malay Mail sedang asyik sedang merakamkan kelibatnya, Abdullah terperasan dan terus menutup wajahnya dengan menggunakan sehelai tuala.
Bila kes ini diajukan kepada pegawai penjara, mereka mendakwa Abdullah terlibat dalam sebuah sistem dimana ia merupakan persediaan pra-pembebasan untuk seseorang banduan dibenarkan bekerja di luar untuk membiasakan diri mereka bila bebas kelak.
Namun menurut Allahyarham Datuk Zainuddin Maidin (ZAM) dalam tulisannya, Abdullah sebenarnya diberi keistimewaan dengan berulang alik antara penjara Kajang dengan bandar raya untuk minum teh tarik, membaca akhbar dan menguruskan pernigaannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Pun begitu, kata ZAM, di sebalik ketidakjujurannya, Abdullah Ang mempunyai perwatakan luar biasa. Dia dapat menjelmakan dirinya sebagai seorang yang mempunyai kualiti yang diperlukan dalam dunia perniagaan dan perusahaan. Mudah mengenengahkan dirinya di semua peringkat, tidak segan dan malu, berani dan sanggup bersikap rakus apabila perlu.
” Perwatakannya yang istimewa inilah membolehkannya mengadakan hubungan yang rapat dengan pegawai- pegawai penjara Kajang sehingga dia diberikan layanan istimewa untuk bebas keluar masuk penjara bagi menikmati suasana di luar,” ujarnya
Yang pasti, keistimewaan yang dinikmati Abdullah juga adalah kerana pengaruh dan hubungan baiknya dengan pemimpin tertinggi negara.
Disebabkan kes Abdullah Ang jugalah, rombakan dalam penjara telah dibuat termasuk akhirnya jawatan tertinggi Ketua Pengarah Penjara telah diberikan kepada pegawai kanan PDRM ketika itu.
Dalam kes Azilah, dia mungkin tidak mendapat layanan ‘istimewa’ sedemikian rupa tetapi akses untuk bertemu orang di luar penjara sebenarnya sudah jadi satu keistimewaan yang luar biasa bagi banduan akhir sepertinya.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai dakwaan Shafee.
Sejujurnya kita berharap sangat apa yang dikatakan itu tidak berlaku kerana secara amnya, kita masih melihat integriti Jabatan Penjara ketika ini berada di tahap tertinggi, apatah lagi pelbagai penambahbaikan yang dibuat oleh Jabatan Penjara pasca skandal yang melibatkan Abdullah Ang kira-kira 30 tahun lalu.
Cukuplah kes Abdullah Ang merosakkan segala-galanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan