Selasa, 10 Disember 2019

Insiden rusuhan Kongres AMK 2019: Polis akan panggil Akmal Nasir

Shuhada Abdul Kadir, Astro Awani |
Insiden rusuhan Kongres AMK 2019: Polis akan panggil Akmal Nasir
Akmal diminta tampil membantu siasatan berhubung insiden rusuhan yang berlaku pada Kongres AMK 2019. - Bernama
 

AYER KEROH: Pihak polis tidak menolak kemungkinan memanggil Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan yang berlaku pada Kongres AMK 2019, Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata setakat ini enam individu berusia 19 hingga 30 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan manakala 15 saksi telah dipanggil memberi keterangan.

“Pihak polis setakat ini telah memanggil 15 orang bagi memberi keterangan untuk melengkapkan siasatan dan mereka ini adalah orang yang berkepentingan dalam parti.

“Semua yang mempunyai kepentingan kita akan minta (panggil), kemungkinan besar kita akan panggil (Akmal) bagi membantu melengkapkan kes ini agar dapat beri keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Selasa.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan insiden kekecohan itu tercetus apabila pasukan keselamatan cuba menghalang bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Md Noor daripada memasuki tempat persidangan.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham kemudian mendakwa insiden kekecohan pada kongres sayap parti itu merupakan ‘usaha terancang’ oleh pihak tertentu.

Susulan itu, dua individu ditahan pada hari sama sebelum polis menahan empat lagi lelaki dan kesemua mereka yang merupakan anggota PKR telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Mengulas lanjut ujar Mat Kasim, selain enam individu yang telah ditahan, pihak polis turut mengesan lapan lagi suspek dan meminta kesemua mereka tampil bagi membantu siasatan.

“Kita telah uar-uarkan sebelum ini, meminta lapan individu tampil bagi membantu siasatan dan pihak polis masih menggunakan budi bicara dan tujuan kami cuma untuk lengkapkan siasatan.

“Jadi mana-mana pihak berkenaan saya harap sangatlah lapan individu ini serah diri beri kerjasama supaya kita dapat selesaikan segera kes ini dan serahkan laporan kepada timbalan pendakwa raya (TPR),” katanya sambil memaklumkan menerima lima laporan keseluruhan berhubung insiden sama.

Tiada ulasan: