Selasa, 10 Disember 2019

Jika mahu bergerak bebas, SPRM perlu nampak bebas - Azam

Afiezy Azaman, Astro Awani
Jika mahu bergerak bebas, SPRM perlu nampak bebas - Azam
AZAM: Kalau semua ahli politik setuju mereka perlukan dana, buatlah satu bentuk yang rakyat nampak ada ketelusan. Bukan terima senyap-senyap dan cakap saya dah ada dana. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Jika mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bergerak bebas, kami perlu kelihatan bebas.

Demikian jelas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, dalam usaha membebaskan badan pencegah rasuah itu daripada pihak berkepentingan, termasuk kerajaan dan politik.
 
“Salah satu yang kami cadangkan sekarang ini, dipanggil pembaharuan undang-undang, yang mana pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah perlembagaan, memerlukan iltizam ahli-ahli politik, sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.

“Yang kedua, mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM sendiri, membolehkan kita dapat penjawatan kita sendiri. 'We hire and fire,’ oleh SPRM.
 
“Ketiganya, mengambil contoh di luar negara, dana yang diperoleh SPRM itu bukan datang dari kerajaan.

"Maka, sekiranya perkara ini boleh dilakukan, kami akan bergerak dengan lebih baik tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya kepada Astro AWANI dalam Program Awani Pagi, pada Isnin.

Beliau ditanya bagaimana SPRM mahu memastikan pihaknya lebih bebas dalam menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit rasuah tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Azam berkata undang-undang sedia ada sememangnya telah membebaskan SPRM daripada sebarang campur tangan, namun masyarakat perlu faham tentang adanya pembahagian kuasa.

“Tugas SPRM untuk menjalankan tindakan penyiasatan dan kuasa eksekutif sahaja. Manakala selebihnya diberikan kepada kehakiman dan perundangan,” jelas beliau.

BACA: [EKSKLUSIF] SPRM lucut hak rampas aset perasuah bernilai RM1.198 bilion tahun ini

BACA: [EKSKLUSIF] Ramai pegawai kerajaan kini terima pakej rasuah - SPRM

Dalam pada itu, Azam turut menyarankan kepada kerajaan agar disegerakan pindaan undang-undang berkaitan Akta Dana Politik kerana ketiadaannya boleh meningkatkan risiko rasuah dalam kalangan parti politik serta syarikat-syarikat besar.

“Nak jadi telus, maknanya dana diterima masuk terus ke dalam akaun parti. Banyak pihak akan susah untuk melaksanakan perkara itu.

“Mengikut pengalaman kami, jika RM100 diterima dana politik itu, RM70 masuk poket, RM30 saja pergi kepada rakyat. Ini ramai yang akan setuju dengan ayat saya. Sebab itu undang-undang perlu ada untuk memantau," tambahnya.

Pelaksanaan Akta Dana Politik akan memberikan ketelusan dalam proses politik di negara ini, katanya, sambil memetik contoh pengumpulan dana awam seperti Tabung Harapan dan Tabung Serambi Mekah yang dilaksanakan kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan.

“Kerajaan tubuhkan Tabung Harapan. Yang ini boleh. Kerana, ia masuk dalam satu akaun khas, kemudian digunakan untuk perbelanjaan umum, bukan masuk poket pihak tertentu. Dan akaun itu diaudit untuk tunjuk ketelusannya.

“Kalau semua ahli politik setuju mereka perlukan dana, buatlah satu bentuk yang rakyat nampak ada ketelusan. Bukan terima senyap-senyap dan cakap saya dah ada dana. Jika ada rundingan sulit dibuat, ini akan mendatangkan jenayah yang lain selain rasuah.

“Kerajaan Negeri Kelantan juga dah wujudkan Tabung Serambi Mekah sejak 1991 dan cara ia dikendalikan dipersetujui oleh semua pihak,” jelas Azam.

Pada 29 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata kerajaan dijangka membentangkan rang undang-undang pembiayaan dana politik pada sesi Parlimen tahun depan.
 
 

Tiada ulasan: