Khamis, 5 Disember 2019

Baja subsidi tidak cukup himpit hidup pesawah

HARAKAHDAILY



BAGAN SERAI: PAS Negeri Perak mendesak agar bekalan baja subsidi disalurkan dengan secukupnya kepada pesawah-pesawah padi sebagaimana yang telah dibekalkan oleh pihak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebelum ini.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Perak, Ustaz Muhammmad Faisal Abdul Rahman berkata, para pesawah hanya dibekalkan sebanyak 40 peratus baja yang ternyata tidak mencukupi dan menganggu jadual pembajaan di sawah mereka.

“Ia juga membebankan para pesawah untuk menanggung kos baja padi dan ia memberi kesan kepada kesuburan padi,” katanya ketika ditemui pada himpunan aman pesawah padi menuntut bekalan baja bersubsidi di perkarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Semanggol/Selinsing, di sini semalam.

Himpunan dianjurkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semanggol dan Selinsing dengan turut dihadiri, ADUN Selinsing, Mohd Noor Dawoo dan Pengerusi PPK, Abdul Rahman Hamid serta mantan ADUN Selinsing, Husin Din.

Tambah Ustaz Faisal, PAS Perak bersama-sama dengan pesawah-pesawah padi dan pemimpin PPK Semanggol/Selinsing menyatakan sokongan kepada tuntutan mereka dan berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Sekiranya masalah ini masih berpanjangan, PAS akan membawa perkara ini ke persidangan DUN Perak akan datang dan menuntut Exco Pertanian negeri memberi penjelasan”, katanya yang hadir mewakili ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

Kira-kira 100 pesawah hadir ke himpunan ini selain turut diadakan majlis taklimat oleh kepimpinan PPK mengenai isu tersebut diikuti sesi soal jawab bersama para hadirin.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah mengenai agihan baja subsidi mengikut kuota tidak menepati keperluan sebenar yang harus diukur berdasarkan keluasan sawah padi dan juga mengenai pengurangan jumlah agihan baja bersubsidi terutama baja jenis MPK, urea dan sebatian. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: