Khamis, 5 Disember 2019

Negara tak boleh dipimpin orang tak kenal jantan, betina, kata Tok Mat



KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh dipimpin oleh pemimpin yang wibawa moralnya diragui walau sesaat, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, menegaskan pemikiran terhebat, kepetahan berpidato atau karisma luar biasa tidak boleh mengatasi moral dan akhlak.

Berucap kepada sekitar 3,000 perwakilan di perasmian perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri parti Melayu terbesar itu di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi, Mohamad berkata mereka melakukan perkara yang betul dan benar – untuk bangsa dan negara – apabila mengangkat pemimpin bermoral.

“Kambing pun kenal mana satu jantan dan betina,” katanya, dan menambah parti politik haruslah menampilkan pemimpin yang mempunyai pemikiran jernih dengan dipandu moral dan akhlak.

“Namun semenjak beberapa ketika kebelakangan ini, krisis moral dalam kepimpinan bangsa kita menjadi semakin membarah.”

Mohamad turut mengkritik alasan Pakatan Harapan bahawa memperbaiki negara perlukan masa, memberi amaran kepada gabungan pemerintah bahawa Malaysia bukan eksperimen sains.

“Sungguh malu dan aib, bila mereka sering meminta masa, untuk ‘memperbaiki’ negara…tidak ada masa untuk dibazirkan,” katanya.

Rakyat yang akan menanggung rugi setiap detik yang terbuang, tegasnya.

“Kegagalan 18 bulan PH, hanyalah permulaan kepada lebih banyak kegagalan yang bakal menyusul,” tambahnya.

Mohamad sangat malu melihat perbalahan dalaman dan percakaran kuasa dalam gabungan pemerintah, mengatakan keutamaan PH bukan menguruskan negara tetapi siapa bakal perdana menteri.

“Sehingga ada juga dari kalangan kita yang terikut-ikut, malah diperkudakan oleh kalangan tertentu,” katanya.

Mohamad menyarankan sayap-sayap Umno supaya merangka “tawaran baru” untuk rakyat, yang harus mengandungi beberapa jaminan dan iltizam penting.

“Memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu, mengukuhkan kedudukan Islam, institusi raja, bahasa kebangsaan dan budaya Melayu dan mengukuhkan kemajmukan Malaysia, menghormati kepentingan pelbagai kaum,” katanya.

Tiada ulasan: