Khamis, 19 Disember 2019

Iran tawar pemindahan teknologi kepada negara-negara Islam

Norlaile Abd Rahman
MGF19122019_PerasmianKLSummit19_27
Presiden Iran, Hassan Rouhani berucap pada Majlis Perasmian Summit Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR- Hubungan dan kerjasama di antara negara-negara Islam perlu dieratkan bagi menutup ruang ancaman dan penindasan pihak luar.

Presiden Iran Hassan Rouhani mencadangkan supaya pusat penyelidikan, teknologi maklumat dan ekonomi digital dapat ditubuhkan hasil permuafakatan yang dicapai menerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang sedang berlangsung ketika ini.

Katanya, negara-negara Islam amat lemah dalam bidang teknologi, maklumat dan komunikasi sehingga terpaksa bergantung kepada dunia barat.

“Beberapa isu besar seperti globalisasi ekonomi dan kekurangan perbincangan dalam menangani masalah-masalah ini serta kurangnya akses maklumat menyebabkan kita (negara-negara Islam) perlu membuat dasar yang lebih realistik.

“Ikatan negara-negara Islam juga tidak cukup kuat dari pelbagai sudut.

“Kerjasama dalam perbankan Islam sangat lemah, transaksi perdagangan di antara negara-negara Islam juga tidak menggunakan matawang sendiri.

“Malah kita juga tidak menggunakan sistem sendiri untuk melakukan pelaburan, jadi kita perlu mencari jalan untuk memastikan kerjasama di antara negara-negara Islam lebih kuat,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Tambah Hassan, Iran berpengalaman luas di dalam menghadapi cabaran keganasan, konspirasi malah dikenakan sekatan antarabangsa sejak sekian lama.

Namun begitu, cabaran-cabaran tersebut menurut beliau berjaya membuatkan rakyat Iran lebih kuat, berdikari dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Ia juga membuatkan rakyat negara tersebut menyedari kepentingan untuk menguasai bidang sains dan teknologi.

Dengan itu katanya, Iran bersedia untuk berkongsi kepakaran tersebut dengan negara-negara Islam yang lain.

“Mereka cuba menjadikan kami lemah kerana sekatan-sekatan sedemikian begitu memberi tekanan kepada negara kami tetapi kami berjaya mengatasinya sehingga pada 2018 apabila Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian nuklear serta sekatan-sekatan lain.

“Malah pertumbuhan ekonomi Iran juga semakin baik yang mana ketika ini kami sedang memikirkan cara untuk mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak sahaja.

“Kami mahu meningkatkan ekonomi domestik, bidang sains dan teknologi kerana kami memang percaya ini adalah sumber pendapatan dan kekuatan Iran.

“Dengan itu, kami berhasrat untuk berkongsi dengan negara-negara lain termasuk melalui perpindahan teknologi,” katanya lagi.

Hassan turut menggesa semua negara Islam supaya tidak melupakan nasib rakyat Palestin, Yaman dan umat Islam lain yang sedang ditindas.

Katanya, pentadbiran kerajaan yang lemah, kemiskinan, pengangguran dan isu dalaman negara-negara Muslim menyebabkan mereka mudah diancam dan ditindas.

Katanya, setiap negara Muslim yang mempunyai kemampuan perlu terus membantu di samping berkempen supaya penindasan dapat dihentikan.

Bagaimanapun, mereka perlu berhati-hati supaya tidak mencampuri urusan dalam sesebuah negara itu ketika berusaha untuk menyelesaikan konflik berkenaan.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: