Rabu, 9 Oktober 2019

Kakitangan Utusan keliru, EC bacul – Taufek


Mohammad Arif Nizam
MG091019_HARI-TERAKHIR-UTUSAN-MALAYSIA09
Presiden NUJ Cawangan Utusan, Mohd Taufeq Razak bercakap kepada media berkenaan penutupan Utusan Melayu Berhad selepas hari terakhir beroperasi di Bangunan Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Kakitangan Utusan Melayu Sdn. Bhd. kini keliru selepas syarikat akhbar Melayu itu akan menghentikan operasinya hari ini.

Presiden NUJ Utusan Melayu, Mohd. Taufek Razak berkata, surat pekeliling syarikat yang diterima seramai 862 kakitangan menjelaskan merekan akan berkhidmat sehingga 30 Oktober ini dan masih dibayar gaji.

Menurut beliau, situasi itu menjadi persoalan buat kakitangan mengenai nasib mereka samada akan terus berkhidmat atau diberhentikan selepas hujung bulan ini.

“Perasaan kami semua ketika ini adalah keliru dan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Bagaimana nasib kami selepas 30 Oktober ini, jika masih bekerja apakah akan menerima gaji.

“Kami juga tidak pasti adakah akan diserap di bawah pengurusan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas NUJ Utusan Melayu selepas syarikat itu mengeluarkan memorandum pekeliling mengenai penutupan operasi hari ini.

MG091019_HARI-TERAKHIR-UTUSAN-MALAYSIA11-2
Presiden NUJ Cawangan Utusan, Mohd Taufeq Razak (tiga kiri) 
bercakap kepada media berkenaan penutupan Utusan Melayu 
Berhad selepas hari terakhir beroperasi di Bangunan Utusan 
Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

Taufek yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia memberitahu, pihaknya kecewa dengan cara pengurusan Utusan Melayu mengendalikan isu penutupan operasi syarikat.

Beliau menyifatkan pengerusi eksekutif syarikat akhbar itu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir sebagai bacul apabila cuba lari daripada masalah.

Malah memorandum perkeliling hanya dikeluarkan melalui surat tanpa mengadakan perbincangan dengan NUJ dan kakitangan terlebih dahulu.

“Mana pengerusi eksekutif? Apa yang berlaku ini adalah sikap bacul dan tidak berjiwa besar.

“Beliau tidak sanggup berdepan dengan kakitangan. Malah beliau telah mengelak dengan bertemu dengan pihak NUJ sejak awal bulan lalu apabila sering menangguh tarikh pertemuan,” katanya.

Taufek turut memberitahu bangunan Ibu Pejabat Utusan Melayu itu telah disita dan kakitangan tidak dibenarkan beroperasi selepas pukul 1 petang ini.

Namun beliau berkata, pihak pelikuidasi bertolak-ansur memberi tempoh beroperasi sehingga pukul 6 petang.

“Kami diberi kerjasama untuk masuk ke bangunan sampai esok untuk mengemas barang-barang,” katanya.

Dalam memorandum pekeliling syarikat, mulai hari ini, syarikat media itu berusia 80 tahun itu akan menghentikan operasinya dan tarikh akhir perkhidmatan kakitangannya bermula esok.

Abd. Aziz berkata, langkah itu dibuat selepas pelbagai usaha ‘menyelamatkan’ syarikat tidak menjadi.

Sehubungan itu, menurut Abd Aziz, Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

Menurutnya, langkah itu terpaksa diambil oleh kerana lembaga pengarah berpendapat syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

Ia termasuk menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada 700 kakitangan, penjualan aset, edaran akhbar menjunam turun dan kegagalan sumbangan iklan tidak menepati sasaran. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: