Rabu, 9 Oktober 2019

Hati hati ketika masuk ke rumah ibadat agama lain: MUIS

Sohibus Samahah Ust Hj Zamri Hashim

 

Tiada keperluan untuk tangkap, sebar gambar di rumah ibadat lain


HARI INI terdapat segelintir umat Islam di Malaysia yang cuba mewujudkan budaya masuk ke gereja dan tempat ibadat agama lain. Situasi ini adalah perkembangan yang membimbangkan, berikut adalah pendirian Majlis Ulama ISMA (MUIS):

1. Mengimani Islam sebagai satu-satunya agama yang berada di atas kebenaran dan diterima di sisi Allah SWT adalah asas dalam Akidah seorang muslim. Keimanan ini juga meletakkan bahawa sebarang bentuk agama dan kepercayaan selain Islam adalah suatu kesesatan yang sedikit pun tidak diredhai oleh Allah SWT, Tuhan Pemilik seluruh alam.

2. Oleh itu bagi orang beriman, sebarang bentuk kepercayaan selain atau menduakan Allah adalah suatu bentuk kesyirikan yang dibenci olehNya. Maka sebarang bentuk ritual ibadat yang membawa kepada maksud ini juga tidak diredaiNya kerana ia adalah wasilah kepada syirik. Begitu jugalah tempat-tempat ritual ini dibuat dihukumkan dengan hukum yang sama kerana disinilah amalan syirik itu berlaku.

أن أم سلمة وأم حبيبة رضي الله عنهما ذكرتا لرسول الله كنيسة بأرض الحبشة، وما فيها من الصور، فقال: “أولئك شرار الخلق عند الله

Sesungguhnya Ummu Salamah dan Ummu Habibah menceritakan pada Baginda SAW tentang keadaan gereja di Habsyah yang wujud di dalamnya gambar dan patung, maka sabda Nabi: Binaan tersebut adalah seburuk-buruk binaan di sisi Allah. (riwayat Bukhari)

3. Atas sebab itulah secara asasnya, ulama bersepakat bahawa masuk ke tempat di mana amalan syirik tersebut dibuat tanpa sebarang keperluan hendaklah ditegah. Bahkan Mazhab Syafie dan Mazhab Hanafi (Tuhfatul Muhtaj 2/424) meletakkan ianya adalah haram kerana di dalamnya wujud patung-patung yang menjadi lambang kesyirikan. Ketegasan jawapan Saidina Umar ra yang ketika itu merupakan pemimpin dunia diajak oleh paderi-paderi untuk makan di gereja sebagai meraikan kehadiran tentera umat Islam sepatutnya dijadikan pelajaran untuk kita:

إنا لا ندخل كنائسكم من الصور التي فيها. يعني التماثيل

Sesungguhnya kami (umat Islam) tidak akan masuk gereja yang ada padanya gambar dan patung (syirik). (Musannaf Abd Razzaq)

4. Walaupun terdapat ulama yang membenarkan masuk ke dalam tempat tersebut jika terdapat keperluan, ia tidak sepatutnya menyebabkan kita mengambil sikap bermudah untuk masuk ke tempat tersebut. Asasnya keperluan yang dimaksudkan itu sendiri hendaklah dilihat dengan teliti adakah ia keperluan sehingga tiada pilihan melainkan memerlukan masuk ke dalam sana dan tidak boleh didapati daripada sumber lain. Kalau terdapat pilihan maka hendaklah dielakkan daripada masuk. Jika sekadar pada dialog atau maklumat ia boleh saja didapati daripada perbincangan di tempat-tempat lain tanpa perlu masuk ke sana.

5. Kalaulah kita benar-benar rasa ianya keperluan sekali pun contohnya untuk kajian, kita perlu sedar di sisi Mazhab Syafie ianya menjadi darurat kerana hukum pada asalnya adalah haram. Hukum dalam darurat adalah berkadar kepada keperluan tersebut (الضرورة تقدر بقدرها). Maka dalam hal ini ia perlu dinilai berkadar pada bilangan orang yang masuk, tempoh dan keadaan yang diperlukan sahaja secara khusus. Jadi berdasarkan asas ini, di manakah keperluan mengambil gambar di tempat tersebut? Apatah lagi menyebarkan gambar-gambar perbuatan tersebut jauh sekali daripada keperluan.

6. Dalam Islam, seorang muslim bukan sekadar diajar untuk tidak melakukan fitnah, dalam masa yang sama dia juga dididik untuk tidak melakukan perkara yang boleh membawa fitnah. Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Ahmad: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul, hendaklah dia menjauhi tempat yang dihidangkan minuman arak.” Hadis ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa tidak seharusnya seorang muslim berada di tempat yang terzahir perlakuan yang dilarang oleh Allah kerana akhirnya ia boleh mengundang fitnah.

7. Hujah masuk dan ziarah kononnya untuk membina hubungan yang baik dan toleransi sesama manusia juga adalah perkara yang tidak berasas. Ribuan tahun Islam menegakkan amalan hidup aman dalam masyarakat berbilang agama yang tidak pernah dilihat dalam sejarah peradaban manusia tanpa memerlukan budaya masuk ke tempat ibadat agama lain. Maka persoalannya toleransi manakah yang kita maksudkan? Harapnya ia bukanlah toleransi barat yang berfalsafahkan pluralisme. Kalau itu yang dimakusdkan ia bukanlah membangunkan agama, tetapi meruntuhkan seluruh kehidupan beragama itu sendiri.

8. Hendaklah kita semua ingat bahawa kesyirikan atau runtuhnya akidah sesuatu umat itu bukanlah runtuh dalam satu hari. Apabila kita generasi hari ini bermudah-mudah, ianya akan membawa generasi selepas kita bersikap lebih sambil lewa. Ingatlah kisah kaum Nabi Nuh AS bagaimana kesyirikan mereka itu hadir asalnya bermula dengan berlebihan memuji orang soleh, membawa kepada binaan yang berakhir dengan penyembahan dan kesyirikan. Mungkin hari ini kita sekadar masuk dan bergambar, tetapi boleh jadi generasi selepas kita terlibat dalam amalan keagamaan lain tanpa rasa apa-apa dan generasi selepas itu akan jatuh lebih dalam ke lembah kesyirikan.

Moga Allah memelihara kita seluruh umat Islam daripada segala fitnah khususnya yang boleh mengancam akidah kita.

Memandu Masyarakat Mendaulat Syariat

*Sohibus Samahah Ust Hj Zamri Hashim
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)


Tiada ulasan: