Jumaat, 4 Oktober 2019

Haram perdaya orang ramai mahu sedekah: Khutbah

fazleen safina

 

Ada pihak tak bertanggungjawab eksploitasi kanak-kanak kutip derma

BANGI– Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam adalah haram dan berdosa bagi sesiapa yang cuba mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan dan memperdaya orang ramai yang mahu bersedekah.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi teks khutbah berkata, walaupun sedekah sesuatu yang sangat digalakkan dalam Islam, tetapi terdapat segelintir masyarakat menyalah gunakan kebaikan orang yang suka menginfaqkan atau mendermakan harta.

Katanya, perbuatan meminta derma tanpa kebenaran masih berleluasa di sana sini, yang mana boleh dilihat dengan jelas di tempat-tempat awam seperti di hadapan bank-bank, stesen minyak, pasar malam dan restoran.

“Lebih dari itu, sebilangan kanak-kanak turut dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kanak-kanak ini ada yang

digunakan khusus menjalankan kutipan derma dan ada juga yang digunakan untuk menjual cakera padat syarahan agama, kismis, buku dan sebagainya.

“Jika tidak mahu membeli, mereka akan menyarankan berilah sumbangan jariah kepada mereka. Malangnya, masyarakat seperti tidak mempedulikan sama ada individu atau kanak-kanak yang menjalankan kutipan derma benar-benar mewakili sesebuah institusi atau melakukan penipuan.

“Dengan sikap kemurahan hati yang wujud dalam diri, sebahagian masyarakat mudah sahaja menghulurkan derma tanpa berfikir panjang. Pengutip pula secara terang-terang bebas menjalankan kutipan ke sana ke mari tanpa sebarang sekatan,” kata khutbah.

Khatib berkata, kutipan derma sebenarnya mempunyai maksud dan fungsi yang luas, bukan sahaja untuk menampung kos pembinaan pembangunan sesebuah institusi, tetapi juga merangsang masyarakat untuk sama-sama bertaawun serta menyuburkan amalan bersedekah.

“Jika di Selangor, hanya individu yang diberi kebenaran sahaja yang dibenarkan menjalankan pungutan dengan menggunakan kad kebenaran yang dibekalkan dan mengeluarkan resit penerimaan ke atas setiap wang yang dipungut.

“Tidak dibenarkan membuat pungutan khairat di tempat-tempat awam seperti dari rumah ke rumah, pusat membeli belah, pasar malam, restoran dan sebagainya,” kata khatib.


Tiada ulasan: