Cadangan pengambilalihan jejaskan konsep demokrasi: Tok Mat
SEREMBAN– UMNO tidak bersetuju dengan cadangan pengambilalihan pendaftaran dan
kawal selia parti politik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri
Mohamad Hasan berkata, parti politik seharusnya kekal dibawah kawal
selia ROS dan bukannya SPR yang menurutnya akan menjejaskan konsep
demokrasi yang diamalkan negara.
“Kalau SPR sebagai pengadil kepada
pilihan raya dan SPR juga mengawal parti politik, tidak bolehlah. Bagi
saya sekiranya mahu jadi pengadil jadilah pengadil dan jika mahu jadi
pemain, jadilah pemain. Kita di negara yang mengamalkan demokrasi,
pemisahan kuasa mesti ada.
“Kita mesti berpegang kepada konsep
pemisahan kuasa kerana itulah demokrasi. Itulah dia punca demokrasi
iaitu pengasingan kuasa. Jadi sekarang pengasingan kuasa itu perlu ada.
“SPR ialah orang yang menguruskan pilihan
raya, yang jadi pemain ialah parti politik dan yang menguruskan parti
politik ialah ROS. Saya rasa tak ada keperluan cadangan tersebut,”
katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mohamad yang lebih mesra panggilan Tok
Mat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan
pengambilalihan pendaftaran dan kawal selia parti politik oleh SPR
daripada ROS, yang dicadangkan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan
Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).
Semalam, Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid
Ab Rahman dilapor sebagai berkata, laporan lengkap berhubung cadangan
itu dijangka siap akhir tahun ini dan akan mengemukakannya secara rasmi
kepada kerajaan selepas laporan lengkap cadangan itu siap. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan