Ahad, 29 September 2019

Sarawak kemuka formula baru perkongsian hasil dengan Petronas




KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengemukakan formula baru kepada Putrajaya mengenai “perkongsian hasil” dengan Petronas dalam usaha untuk mendapatkan semula kehilangan hasil daripada royalti minyak, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Beliau berkata formula baru itu telah diserahkan kepada kerajaan persekutuan tetapi beliau tidak menyatakan tarikhnya.

Abang Johari berkata beliau sedar entiti berkaitan kerajaan itu sebuah syarikat antarabangsa tetapi itu tidak bermakna ia menyebabkan negeri kehilangan hasil.

“Ada formula yang membolehkan Sarawak juga mengambil bahagian. Saya telah serah kita punya cadangan, formula kita sendiri. Ia modul baru yang saya percaya tidak akan menjejaskan Petronas sebagai syarikat antarabangsa,” kata beliau.

“Kamilah yang menghasilkan bahan mentah untuk Petronas dari segi gas serta minyak mentah, terutama gas, jadi saya mempunyai formula saya yang bersifat komersial,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena Hari Wanita Sarawak 2019 hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata di New York semalam bahawa memberi 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak dan Sabah bermakna Petronas tidak lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa seperti sepatutnya.

Mahathir juga dipetik sebagai berkata kerajaan cuba untuk mencari kaedah mengenai bagaimana ia dapat menyalurkan lebih banyak dana kepada kedua-dua negeri tanpa menjejaskan kekuatan Petronas.

Abang Johari bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butir formula itu kerana ia masih dalam proses perundingan dengan kerajaan persekutuan.

Tiada ulasan: