Khamis, 19 September 2019

Dua warga Malaysia ditahan seludup dadah satu tan ke Australia

Agensi
Dua warga Malaysia ditahan seludup dadah satu tan ke Australia
Portal berita The Sydney Morning Herald melaporkan berita penahanan dua rakyat Malaysia di sebuah gudang di Roselands, Sydney.
 
 
DUA warga Malaysia ditahan dan didakwa atas kesalahan cuba menyeledup lebih satu tan dadah di sebuah gudang di Sydney, Australia.

Menurut jurucakap polis sempadan Australia (ABF), John Fleming, kedua-dua suspek berusia 22 dan 63 tahun ditahan pada Isnin ketika satu serbuan di gudang tersebut.

Katanya, dadah jenis ephedrine itu didapati tersembunyi dalam 127 kotak perabot yang diimport dari China.
 
“Pada 16 September, anggota penyiasat ABF membuat serbuan ke atas sebuah kontena yang dihantar ke sebuah gudang di Roselands, Sydney.
 
 “Anggota penyiasat kami mendapati dua lelaki membuka kotak-kotak di dalam kontena tersebut dan membawanya masuk ke dalam gudang. Kedua-dua suspek kemudian dipercayai membuka kotak tersebut yang mengandungi dadah jenis ephedrine.
 
“Pada ketika itu anggota ABF telah memasuki premis tersebut dan menahan kedua-dua suspek. Mereka merupakan warga Malaysia yang berusia 22 dan 63 tahun,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.

Memetik laporan AP, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Campsie dan didakwa atas kesalahan mengimport bahan terlarang dalam kuantiti yang banyak.

Ephedrine merupakan salah satu bahan yang digunakan untuk membuat methamphetamine. 
 
 

Tiada ulasan: