Ahad, 22 September 2019

BN akan tanding kerusi Parlimen Tanjung Piai – Ahmad Zahid

Muhammad Azizul Osman
MGF22092019_ZAHID-RASMI-PERHIMPUNAN-IPF01
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-27 di Wisma IPF, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

SERI KEMBANGAN – Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi merampas kembali kerusi berkenaan yang diperoleh oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), tahun lalu.

“Sebelum Datuk Dr Md Farid Md Rafik mengambil kerusi itu dengan majoriti 565 undi, kerusi itu adalah milik BN yang diwakili oleh MCA.

“Pasti kita rebut semula kerusi itu untuk diwakil oleh BN,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung IPF ke-27 di Dewan Aathikumanan, Wisma IPF, hari ini

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN yakin ahli Pas akan mengundi BN pada PRK itu memandangkan UMNO kini bekerjasama secara ta’awun dengan Pas.

“Kita akan adakan perbincangan dengan rakan dalam Muafakat Nasional sebab undi Pas dalam PRU14 melihatkan bahawa mereka telah berikan kira-kira 2,900 undi dan saya amat positif jika undi ini dapat diberikan kepada BN maka kemenangan akan memihak kepada mana-mana calon yang akan mewakili BN,” katanya lagi.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal diadakan kelak selepas penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, awal pagi kelmarin akibat serangan penyakit jantung.

Dr Md Farid juga memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA), dengan majoriti 524 undi. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: