Rabu, 25 September 2019

DAP ‘makhluk perosak’

siti hafidah 

 

PAS khuatir DAP bawa bencana besar jika tidak dibendung

BANGI – PAS menyifatkan parti rasis dan cauvinis, DAP serta sekutu mereka sebagai ‘makhluk perosak’ kerana banyak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan mencetuskan sentimen agama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, ungkapan ‘makhluk perosak’ kerana DAP menunjukkan, sikap terbuka mencabar kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan raja-raja.

“Bukan itu sahaja, malah ada individu dan pimpinan politik yang menghina agama Islam seperti mempertikaikan pemakaian tudung dan aurat, mempersoalkan laungan azan, isu bacaan khutbah dan banyak lagi sehingga mempersoalkan ibadah khusus yang diamalkan oleh umat Islam.

“Kemuncaknya apabila mereka secara terang campur tangan membantah cadangan untuk meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah yang hanya membabitkan orang Islam. Mereka juga lantang menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasikan.

“Kenapa mereka perlu mempertikaikan hal ehwal agama lain sedangkan Islam sendiri tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan ajaran mereka?” soal beliau dalam satu kenyatan hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, campur tangan DAP berhubung perkara berkaitan Islam adalah sebahagian tindakan melampau ‘makhluk perosak’ yang boleh menggugat keharmonian negara yang telah dijalinkan selama ini.

“Ibarat titisan hujan yang boleh mengakibatkan banjir yang besar, PAS menyuarakan kebimbangan tindakan mereka boleh menyebabkan bencana yang lebih besar kepada Malaysia yang kita sayangi ini jika tidak dibendung dengan segera,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PAS berkali-kali menegaskan akan menyokong dan mempertahankan segala agenda perpaduan nasional dalam banyak kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak mereka.

“Pasca Himpunan Perpaduan Ummah dan termeterainya Piagam Muafakat Nasional turut menyatakan dengan jelas agenda perpaduan nasional ini tanpa ragu-ragu,” katanya.


Tiada ulasan: