Malaysia tidak terbabit jika berlaku insiden cetus pertempuran: PM
VLADIVOSTOK
– Malaysia tidak berasa terancam terhadap rancangan Amerika Syarikat
(AS) menempatkan peluru berpandu di rantau Asia Pasifik atau dengan
kehadiran tentera China di situ, tetapi bimbang mengenai potensi berlaku
insiden tidak diingini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
ketika diwawancara agensi berita Sputnik.
Pada Ogos lalu, Setiausaha Pertahanan AS,
Mark Esper, berkata beliau berhasrat menempatkan peluru berpandu jarak
sederhana di Asia tetapi menegaskan, ia mungkin mengambil masa lama.
“Saya tidak fikir sebarang tawaran rasmi
mengenainya dibuat tetapi ia suatu yang kita dapat daripada berita. Dan
kami fikir, jika kami perlu berbelanja untuk pertahanan, ia mesti suatu
yang benar-benar bermanfaat dalam usaha mengekalkan keselamatan kami.
“Buat masa ini, Malaysia tidak berasa
tarancam. Ya memang ada kapal perang China di Laut China Selatan dan
Amerika juga datang ke sana tetapi kami tidak melihat ia sebagai ancaman
langsung terhadap Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Dr Mahathir berkata demikian ketika
ditanya mengenai kemungkinan penghantaran peluru berpandu AS dan
kesannya terhadap situasi di rantau berkenaan.
“Bagaimanapun, kemungkinan berlakunya
insiden menjadi kebimbangan kita. Jika berlaku insiden lalu mencetuskan
pertempuran, kita tidak akan terbabit. Kita tidak akan berpihak kepada
sesiapa,” katanya.
Perdana Menteri kini berada di Vladivostok, Rusia sempena Forum Ekonomi Timur yang akan berlangsung sehingga Jumaat.
Agensi Maklumat Antarabangsa Rossiya Segodnya menjadi media rasmi bersama untuk acara itu. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan