Sabtu, 21 September 2019

'Gaya hidup, judi internet faktor penjawat awam terjerumus rasuah'

MALAYSIAKINI

   

Faktor gaya hidup tinggi serta berbelanja di luar kemampuan antara penyebab penjawat awam terjebak dalam rasuah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Sinar Harian memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil yang berkata aktiviti judi internet juga mampu jadi penyebab penjawat awam terlibat dengan rasuah dan juga terbeban ekoran berhutang dengan ceti haram.

"Kenapa kadang-kadang mereka terlibat dalam rasuah walaupun mereka bekerja sebagai penjawat awam? Pertama, kalau kita lihat yang berlaku, salah satu faktornya kerana mahu kekalkan gaya hidup, berbelanja di luar kemampuan.

“Kalau pakai jam, jam yang paling mahal. Kadangkala ada yang berharga RM600,000 yang buat kita fikir tidak munasabah penjawat awam pakai jam sebegitu,” katanya dalam program Bicara Minda Sinar Harian.


Beliau yang berkhidmat 35 tahun dengan SPRM juga berkata bahawa permainan judi internet yang berlaku dalam kalangan penjawat awam itu adalah susulan dunia teknologi maklumat (IT) yang membuka ruang kepada aktiviti tersebut.

“Itu pun membimbangkan sebab ada berlaku penjawat awam terlibat dengan judi internet, akhirnya mereka terbeban dengan hutang, pinjam ah long dan mungkin juga akhirnya akan terlibat rasuah apabila ruang dan peluang itu ada.

“Kalau diambil kira daripada peringkat awal usaha pencegahan rasuah, yang pentingnya adalah kebersamaan.

“Kita jangan lihat isu rasuah hanya entiti SPRM perlu menanganinya tetapi kita semua sebagai rakyat. Kita mesti ada perasaan tanggungjawab,” katanya.

Beliau menyarankan supaya aktiviti rasuah bukan sahaja ditangani SPRM tetapi juga rakyat.

“Sekiranya kita melihat perkara itu (rasuah) berlaku depan mata, kita mesti laporkannya.

“Jangan disebabkan kita fikir malas ke mahkamah, malas nak laporkan kepada SPRM kerana ada banyak karenahnya nanti, jangan fikir begitu,” katanya.


Tiada ulasan: