Jumaat, 27 September 2019

Inkues Adib: Pastikan penjenayah ke tali gantung

Oleh Athirah Huda Zalhe 

 

Kerajaan diingatkan tidak 'main-main' laksana rule of law: Amir Isma

BANGI – Perjuangan untuk mendapatkan keadilan ke atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim masih belum selesai, selagi penjenayah yang terbabit tidak dibawa ke muka pengadilan.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, keputusan Mahkamah Koroner hari ini adalah permulaan untuk keadilan sebenar buat Muhammad Adib dan keluarganya.

Pemimpin tertinggi gerakan Islam utama itu berkata, rakyat dan keluarga Allahyarham masih belum mampu menarik nafas lega selagi tidak melihat penjenayah yang membunuh Muhammad Adib berakhir di tali gantung.

“Justeru itu, kita mengharapkan kerajaan tidak ‘main-main’ lagi dalam melaksanakan rule of law, apatah lagi membabitkan nyawa seorang anggota keselamatan serta penjawat awam yang bertugas.

“Isma turut melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah hari ini, yang akhirnya membuktikan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan jenayah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengulangi gesaannya kepada Tommy Thomas untuk meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara, supaya keadilan dalam kes ini dapat ditegakkan.

“Saya pasti melalui keputusan mahkamah hari ini, rakyat akan memastikan kerajaan tidak berkelakuan ‘pelik’ atau cuba melindungi pesalah.

“Isma juga ingin mengucapkan tahniah kepada keluarga Allahyarham Adib dan semua pencinta keadilan yang sama-sama berjuang hingga ke hari ini,” katanya.

Selepas 41 hari prosiding inkues dijalankan, Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lalu, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.

Keputusan mahkamah hari ini juga menjadi ‘penawar’ kepada pelbagai konflik yang tercetus sepanjang prosiding berlangsung, termasuk kontroversi campur tangan Peguam Negara.

Pada 24 Disember 2018, dilaporkan bahawa pihak polis, melalui kenyataan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid, empat orang suspek telah dikenal pasti dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. Namun, semua suspek telah dibebaskan.

Negara sekali lagi dikejutkan apabila Tommy Thomas sudah pun mengeluarkan afidavit sebelum inkues selesai, selain peguam bagi keluarga Adib, KPKT dan pihak bomba iaitu Puan Syazlin Mansor mengaku bahawa terdapat campur tangan daripada pihak Peguam Negara dalam kes ini.

Malah, beliau juga diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara supaya menarik diri daripada kes berkenaan dengan alasan yang tidak munasabah, sekali gus menimbulkan pelbagai keraguan terhadap integriti institusi keadilan di negara ini.

27 Ogos lalu, keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadap Tommy Thomas berhubung punca kematian Muhammad Adib.

Mahkamah menerima permohonan bapa Adib, Mohd Kassim, 65, berdasarkan beberapa faktor antaranya hujahan pemohon, percaya Tommy menggunakan kedudukan mengenai punca kematian Muhammad Adib.


Tiada ulasan: