Ahad, 22 September 2019

Kronologi jerebu di Malaysia

tyrazalhe  

 

Sarawak diisytihar darurat pada 1997 kerana bacaan IPU lebih 650

KUALA LUMPUR – Masalah jerebu yang melanda Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara ketika ini sehingga menjejaskan kehidupan harian serta aktiviti pembelajaran bukanlah sesuatu yang baru.

Malah, jerebu pada 1997 menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat, manakala jerebu yang melanda pada 2015 pula dikatakan yang terburuk dalam sejarah negara.

Berikut adalah sebahagian kronologi kejadian jerebu yang dilaporkan berlaku di Malaysia :

1960 – Kali pertama jerebu dilapor berlaku disebabkan faktor tempatan seperti pembakaran terbuka, pembakaran bahan api dari industri perkilangan dan kenderaan.

1983 – Jerebu berlaku disebabkan fenomena El Nino dan pembakaran hutan di Kalimantan. Kualiti udara yang buruk juga menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.

1997 – Jerebu teruk dilaporkan berlaku apabila hampir seluruh negara diselaputi asap tebal selama hampir enam bulan, malah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan melewati paras bahaya.

19 September 1997: Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak apabila bacaan IPU melebihi 650 iaitu paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah. Ia merupakan perisytiharan darurat jerebu alam sekitar pertama dalam sejarah negara.

Operasi Haze dilaksanakan oleh pasukan bomba Malaysia bagi membantu pihak berkuasa Indonesia memadamkan kebakaran hutan dan kawasan perladangan di Sumatera dan Kalimantan.

ASEAN turut mengambil tindakan proaktif dengan meluluskan pembentukan sistem amaran awal dalam Pelan Tindakan Jerebu Serantau (Regional Haze Action Plan) pada 1998.

2014 – Bagi menangani masalah pembakaran terbuka yang menyumbang kepada jerebu dan kritikan daripada negara-negara jiran, Indonesia mengesahkan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2014 dan merupakan negara ASEAN yang terakhir yang berbuat demikian.

Singapura pula meluluskan undang-undang yang membolehkan negara itu mendakwa individu dan syarikat yang menyumbang kepada jerebu.

2015 – Jerebu yang melanda negara disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah sehinggakan banyak sekolah terpaksa ditutup, selain penerbangan dan beberapa acara luar peringkat kebangsaan dibatalkan.

– 4 September 2015: Lembaga Pengurusan Bencana Nasional Indonesia mengisytiharkan darurat akibat jerebu di Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Penutupan sekolah akibat jerebu telah dilaksanakan di Indonesia, Malaysia dan Singapura dengan hampir empat juta pelajar di Malaysia dilaporkan terjejas.

Beberapa acara antarabangsa turut terjejas, misalnya Piala Dunia Renang FINA 2015 di Singapura dan Marathon Kuala Lumpur 
 
Selain itu, sebuah pesawat Bombardier CL415MP dan helikopter AS 365 N3 dauphin milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dihantar ke Sumatera Selatan bagi membantu operasi memadam kebakaran.

Pesawat itu melakukan 21 jam penerbangan dengan melepaskan 546,000 liter air di kawasan kebakaran seluas 60 batu nautika persegi di Sumatera Selatan, Indonesia dalam tempoh lima hari penugasan.

September 2019: Seperti tahun-tahun sebelumnya, jerebu kembali sekali lagi tahun ini yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan. –

Pada Jumaat, sebanyak 2,649 sekolah di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak ditutup akibat jerebu sementara bilangan kes penyakit asma dan konjuntivitis didapati semakin meningkat berdasarkan pemantauan daripada 31 klinik sentinel jerebu.

Jabatan Alam Sekitar turut melakukan operasi pembenihan awam Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan juga Sarawak, terutamanya di kawasan-kawasan terjejas yang mempunyai bacaan IPU melebihi 150. – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengumumkan bahawa Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk menangani kebakaran hutan kerana ia mempunyai peralatan pengeboman air yang boleh digunakan.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pula menyatakan ia menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata akta ini adalah untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara, bukan sahaja di Indonesia.

Walaupun jerebu semakin teruk di rantau ini, Singapura pula mengambil keputusan meneruskan Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) 2019 di litar jalanan Marina Bay Street hari ini.- Bernama


Tiada ulasan: