Jumaat, 27 September 2019

Ketua 'Geng Appu Boy' dipenjara 45 bulan

Mohd Hafizee Mohd Arop
 
 

LELAKI dipercayai ketua ‘Geng Appu Boy’ dipenjara 45 bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas empat pertuduhan iaitu masing-masing satu pertuduhan melupuskan barangan curi, memiliki dadah dan dua pertuduhan menghisap dadah.

Tertuduh S Ravisankar, 36, mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Ravisankar didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan suatu harta iaitu sebentuk cincin emas berukiran naga milik Christine Goh Ze Ching yang diketahui sebagai harta curi dengan memajakkan cincin berkenaan di kedai pajak gadai.

Kesalahan itu dilakukannya di rumah No 47, Taman Permai, Sungai Siput antara 10 pagi hingga 2 petang, 20 Mei lalu dan bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Sesyen 414 Kanun Keseksaan.

Ravisankar turut didakwa memiliki 1.53 gram dadah jenis morfin yang dilakukannya di rumah No 171, Kampung Tersusun Kemuning, Sungai Siput, 12.50 tengah hari, 7 Mei lalu.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke badan di bilik air Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, pada 18 Mac dan 7 Mei lalu.

Bagi kesalahan memiliki, Ravisankar didakwa mengikut pertuduhan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB1952.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili peguam bela, P Suresh.

Norhabsarina kemudiannya menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara bagi kesalahan melupuskan barangan curi, 24 bulan bagi kesalahan memiliki dadah dan masing-masing enam bulan bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.

Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman itu dijalankan secara berasingan bermula hari ini.

Tiada ulasan: