Ahad, 29 September 2019

Sabah iktiraf UEC untuk masuk IPTA, perkhidmatan awam negeri

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.
 
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, cuma ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk bukan hanya masuk universiti, tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah.

“Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di Sabah. Kami telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Festival Kuih Bulan di Lintas Square di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut perkara itu, Shafie berkata, di Sabah, terdapat sembilan sekolah atau institusi pengajian yang menawarkan UEC.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 1,153 pelajar di peringkat rendah dan 583 di peringkat tinggi dan mereka menduduki dua peperiksaan.

“Saya juga gembira bahawa daripada jumlah ini, 83 adalah Bumiputera,” katanya.

Ketua menteri berkata, calon Sabah yang menduduki peperiksaan Junior UEC, perlu mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan bagi calon peperiksaan Senior UEC, mereka perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya.

Shafie berkata Jabatan Pendidikan Sabah menyokong keputusan mengiktiraf UEC, tetapi sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi, seseorang itu juga mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri juga bersetuju pemegang sijil UEC yang mahu dilantik dalam perkhidmatan awam, memerlukan kelayakan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan jabatan itu.

Pada masa sama, Shafie berkata mereka juga mesti mempunyai kelayakan minimum SPM yang diperlukan atau apa-apa kelayakan yang ditetapkan kerajaan Sabah.

Tiada ulasan: