Khamis, 19 September 2019

Dakwa diserang, cucu SM Idris saman setpol Anwar


Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (kiri) dan Tunku 
Nashrul Tunku Abaidah.
 
PETALING JAYA: Seorang cucu bekas presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris, memfailkan saman berhubung kejadian dia diserang Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.

Muhammed Yusoff, 26, dalam tuntutan difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berkata, Farhash tanpa apa-apa provokasi mendatangkan kecederaan ke atas dirinya, ditumbuk bertubi-tubi di pejabat Anwar di Bukit Gasing pertengahan Mei lalu.

“Serangan dilakukan defendan (Farhash) terhadap plaintif (Yusoff)… merupakan satu perbuatan yang kejam dan menyalahi undang-undang. Lebih-lebih lagi ia dilakukan dalam lingkungan tempat kerja plaintif,” katanya dalam pernyataan tuntutan yang dilihat FMT.

Yusoff juga menyaman setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah mengenai beberapa kenyataan medianya berhubung kejadian itu.

Yusoff berkata Tunku Nashrul antara lain memfitnahnya apabila menuduh dia mengalami masalah ketagihan dadah, dan menafikan kejadian serangan itu ada berlaku.

Dia dilantik sebagai pembantu penyelidikan pada September tahun lepas, dan tugasnya termasuk menjawab surat-surat yang dihantar kepada Anwar, presiden PKR dan ahli Parlimen Port Dickson.

Yusoff menuntut ganti rugi atas kecederaan dialami serta kos membaiki kerosakan jam tangan dan menggantikan telefon bimbit.

Dia juga meminta ganti rugi teladan daripada Farhash atas “serangan tanpa sebarang provokasi” serta relif lain dan selanjutnya yang difikirkan adil dan suai manfaat oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff berkata pada 10 pagi 16 Mei tahun ini, Farhash, 37, mendatanginya di pejabat, memarahi dan menuduhnya berkelakuan kasar terhadap setiausaha Anwar, Shukri Saad.

Yusoff menafikan telah berbuat demikian.

Dia mendakwa Farhash kemudian menolaknya ke dinding, mencekiknya dan mengatakan akan membunuhnya.

Selepas melepaskan diri, Yusoff berkata Farhash meluru ke arahnya dan menumbuknya bertubi-tubi, dan mencampakkan telefon bimbitnya ke atas meja.

“Setelah itu defendan menolak plaintif ke lantai dan terus menumbuk plaintif sehingga plaintif mengalami kecederaan,” kata Yusoff.

Yusoff menambah dia dapat melepaskan diri dan Farhash beredar dari tempat kerjanya sambil mengugut akan membunuhnya.

Dia berkata dia menghantar pesanan ringkas kepada Anwar memaklumkan kejadian tersebut. Anwar memintanya mendapatkan rawatan doktor dan berehat di rumah.

Yusoff berkata keesokan harinya, Farhash datang ke tempat kerjanya dan memberitahu dia berhak untuk membuat apa sahaja di pejabat tersebut dan sekali lagi mengugutnya kerana memaklumkan kejadian itu kepada Anwar.

Dia mendapatkan rawatan perubatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan kemudian membuat laporan polis terhadap Farhash di Balai Polis Petaling Jaya pada 26 Mei.

Yusoff berkata Farhash menghubunginya dua hari selepas laporan dibuat tetapi dia mengelak daripada bertemu Farhash.

Dia tidak lagi bekerja dengan Anwar sejak Jun kerana trauma, tekanan perasaan dan gangguan emosi akibat kejadian itu.

Datuknya, Allahyarham SM Idris, aktivis hak pengguna terkenal yang mengasaskan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, meninggal dunia pada 17 Mei di usia 93 tahun.

FMT sedang cuba menghubungi Yusoff bagi mengesahkan tuntutan itu. Farhash dan Tunku Nashrul ketika dihubungi berkata mereka belum menerima sebarang tuntutan daripadanya.

Tiada ulasan: