Rabu, 18 September 2019

Bomba nafi keluarkan kenyataan 13 stadium tak selamat

Muhammad Azizul Osman

IMG-20190918-WA0060


PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Hamdan Wahid menafikan pihaknya ada mengeluarkan kenyataan sejumlah 13 stadium di negara ini tidak selamat.

Jelas beliau, pada kenyataan itu Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Zamri Che Din hanya memaklumkan stadium itu telah pun beroperasi tanpa merujuk kepada pihak berkuasa.

“Dia (Zamri) hanya menyebut bahawa stadium itu telah pun beroperasi tanpa merujuk kepada agensi-agensi teknikal seperti bomba kerana agensi teknikal ini banyak.

“Jadi apabila tidak dirujuk kepada bomba, bangunan sudah siap, bagaimana bomba tahu status keselamatan bangunan tersebut,” katanya selepas ditemui media dalam Majlis Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda dan Motosikal kepada JBPM hari ini.

Mengulas lanjut, Hamdan menegaskan, ketiadaan sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) tidak bermakna bangunan itu selamat atau tidak selamat selagi pemeriksaan tidak dibuat.

“Kita tidak pernah menyatakan ianya bom jangka, kita tidak pernah menyatakan bangunan stadium itu tidak selamat kerana kita hanya menyatakan ada daripada 21 stadium, lapan stadium sudah dapat kelulusan CCC, sebanyak 13 stadium tidak pernah merujuk kepada kita untuk dapat CCC.

“Sama ada bangunan dia itu selamat atau tidak selamat, selagi kita tidak periksa untuk CCC, kita pun tidak tahu,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan bahawa 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara didapati berbahaya dan berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini apabila tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF).

Antara stadium yang terlibat ialah gelanggang rasmi pasukan Pahang dan Kedah iaitu Stadium Darul Makmur serta Stadium Darul Aman.

Turut tidak mempunyai sijil layak menduduki ialah Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan gelanggang rasmi skuad Terengganu FC, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Stadium lain yang dikenalpasti tidak selamat ialah Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Tunku Abdul Rahman, Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Stadium Sultan Muhammad IV, Stadium Tuanku Syed Putra, Stadium Bandaraya, Stadium Likas, Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bagaimanapun, lapan stadium ini disahkan mempunyai sijil CCC iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Hang Jebat, Stadium Tun Abdul Razak, Stadium Ipoh, Stadium Shah Alam dan Stadium UiTM Shah Alam.

Perkara itu dikeluarkan Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Zamri Che Din, menjelaskan ketiadaan sijil terbabit di stadium berkenaan disebabkan oleh binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun, serta tiada ciri keselamatan yang dipatuhi. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: