Jumaat, 27 September 2019

Keputusan Inkues: Air mata Syazlin Mansor demi membela Adib

Mohammad Arif Nizam
MGF12062019_PC-PEGUAM_01
Syazlin Mansor

SHAH ALAM – Tiada kata yang terpacul keluar daripada mulut wanita ini sebaik Mahkamah Koroner di sini memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, disebabkan perbuatan jenayah akibat dipukul dan diserang.

Linangan air matanya yang laju dan esakannya semasa keputusan tersebut dibacakan sudah cukup menggambarkan kedukaannya selama ini terbayar dengan keadilan.

Syazlin Mansor sebelum ini terpaksa menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia dalam inkues siasatan punca kematian Muhammad Adib.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, Syazlin memalukan dirinya sebagai peguam KPKT kerana sering mengambil pendirian bercanggah dengan timbalan pendakwa raya.

Tommy berkata, Syazlin sepatutnya menolak pelantikan KPKT dan bomba kerana peguam tersebut turut mewakili keluarga Adib“yang mempunyai kepentingan secara langsung dalam inkues itu.

Bagaimanapun, Syazlin kini menjadi peguam mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
Justeru keputusan Koroner Rofiah Mohamad hari ini membuktikan Syazlin memperjuangkan kematian Muhammad Adib dengan bukti-bukti yang dimilikinya.

Beliau meletakkan kepentingan arwah di kedudukan teratas berbanding kepentingan peribadi.
Lalu, apabila nasib Muhammad Adib terbela hari ini, Shazlin menangis teresak-teresak sebagai tanda perjuangan buat pemuda kelahiran Kedah telah terbela.

Shazlin tiba pukul 8.45 pagi di mahkamah sambil ditemani suaminya, Ahmad Soffian Mohd. Shariff yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Ahmad Soffian juga terpalit sama apabila terpaksa meletak jawatan bagi mengelak konflik berterusan ke atas isterinya.

“Terima kasih, terima kasih,” kata Shazlin ringkas sambil tersenyum ketika orang ramai menjerit memberi pujian ‘peguam hebat’. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: