Ahad, 22 September 2019

Gambar kahwin Pas-UMNO: Zahid kata psikologi berbalik, Pas mahu saman

Muhammad Azizul Osman
MGF22092019_ZAHID-RASMI-PERHIMPUNAN-IPF10
Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan mengalungkan bunga malai kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-27 di Wisma IPF, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL


SERI KEMBANGAN – Dua parti dalam Muafakat Nasional, Pas dan UMNO akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar berbahasa Cina yang penularan gambar yang telah disunting memaparkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang memakai pakaian perkahwinan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penularan gambar itu dilakukan bagi mengalihkan isu berkaitan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa ada dua faktor, pertamanya provokasi kerana kita sudah ada Muafakat Nasional dengan UMNO dan mereka nampak ada satu ancaman kepada mereka.

“Kedua mereka nak alih perhatian ramai kepada perkara yang remeh.

“Tindakan pun akan kita ambil dan kaji dari sudut undang-undang. Kalau PH bila berlaku satu-satu perkara, dia akan kata itu politik kotor. Jadi ini apa? Mereka sendiri yang buat politik kotor,” katanya ketika menemani Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO merasmikan Mesyuarat Agung IPF ke-27 di Dewan Aathikumanan, Wisma IPF, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penularan gambar itu nyata memberikan kelebihan politik kepada UMNO dan BN.

Ujarnya, pihak berwajib dilihat gagal dalam memahami istilah sebenar Muafakat Nasional yang dimeterai oleh kedua-dua parti pada minggu lalu.
MGF22092019_ZAHID-RASMI-PERHIMPUNAN-IPF12
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi 
Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan (kiri) bersalaman dengan 
sebahagian perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian 
Mesyuarat Agung Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-27 
di Wisma IPF, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
“Mereka gagal untuk memahami apa yang mahu disampaikan oleh Presiden kedua parti.

“Sebaliknya mereka menyindir dengan meminda wajah kita kepada wajah dalam pakaian pengantin.

“Ini psikologi berbalik yang untungkan kita di mana warganet marah dengan paparan gambar itu.
Mereka akan terima akibat atas perbuatan salah mereka sendiri,” katanya pada sidang media di majlis sama.

Semalam, tular satu gambar yang telah disunting pada sebuah akhbar Cina yang  memaparkan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi yang merupakan Presiden Pas memakai pakaian perkahwinan.

Gambar berkenaan dipercayai sindiran kepada kerjasama antara parti UMNO dan Pas melalui permeteraian piagam bersama dua parti itu semasa Himpunan Penyatuan Ummah, minggu lalu.

Penerbitan gambar yang disifatkan bertujuan mempersenda dan tidak sensitif pada umat Islam itu dianggap keterlaluan oleh warga maya.

Ditanya samada UMNO akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan seperti mana yang direncana Pas, Ahmad Zahid berkata, perkara politik harus diselesai dengan pendekatan cara politik.

“Kalau mereka berjiwa besar tanpa kita minta, mereka akan memohon maaf kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: