Ahad, 22 September 2019

Demo darurat iklim di KL tuntut masa depan tanpa jerebu


   
Mohd Faziri Mohd Zaid dan dua anaknya antara 600 hadirin yang menyertai bantahan Mogok Darurat Iklim Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Mereka mengharungi jerebu dan berisiko melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan usia minimum 21 tahun untuk menjadi peserta demonstrasi.

Bagaimanapun, Mohd Faziri, 37 tahun yakin tindakan membantah kemusnahan alam sekitar dan akibatnya ini sangat penting demi masa depan keluarganya.

"Saya datang sebab dia 2-3 hari dah tak sekolah, sebab jerebu lah. Jadi hak kita untuk udara segar dah macam diambil oleh kapitalis. Jadi saya datang bantah sebab rasa macam tak puas hati dengan pencemaran.

"Sebab kita macam semakin lama, semakin teruk. Hutan terbakar semua. Masa depan mereka macam mana nanti?

"Memang lah ada orang marah kalau bawa budak pergi demonstrasi, tapi sama saja kalau kita warisi masa depan yang teruk, sama saja... mereka (anak-anak) akan bantah juga nanti,” katanya kepada Malaysiakini.
Faziri bersama dua cahaya matanya.
Bantahan bermula sekitar jam 4.30 petang apabila peserta mogok darurat iklim berarak secara aman dari Kompleks Beli-belah Sogo ke Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka.

Kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada anak muda, para pelajar serta keluarga dan anak-anak mereka.

Mereka membawa plakad dan kain rentang dengan slogan tertera tulisan: “Siasat dan Dakwa Syarikat Jerebu, Udara Bersih Untuk Semua, Lindungi Rakyat Bukan Sawit dan Utamakan Planet Daripada Keuntungan."

Para peserta yang berarak dalam kesesakan lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman dihentikan seketika oleh pihak polis.
Ketua polis daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah didengar meminta penganjur untuk memindahkan orang ramai ke arah pejalan kaki.

Bagaimanapun, pihak penganjur enggan berbuat demikian kerana laluan pejalan kaki terlalu sempit untuk jumlah peserta dan menggesa pihak polis untuk menutup jalan atas sebab-sebab keselamatan.

Polis kemudian membiarkan penunjuk perasaan terus bergerak di antara kenderaan sebelum bertindak menutup Dataran Merdeka daripada lalu lintas.

Tuntut undang-undang jerebu rentas sempadan

Bantahan hari ini anjuran Klima Action Malaysia (Klima) bersama NGO Greenpeace dan Amnesty International mempunyai 11 tuntutan.

Antaranya menggesa kerajaan menyiasat dan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat yang menyumbang kepada krisis jerebu yang berterusan, larangan terhadap syarikat berkaitan kerajaan daripada bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang menyumbang kepada jerebu dan undang-undang baru jerebu rentas sempadan.

Bercakap di hadapan orang ramai pada perhimpunan selepas perarakan, Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen (gambar, bawah) mengakui perubahan iklim bukan keutamaan di Malaysia dan kata-katanya bersambut sorakan, "boo" yang kuat.
MP PKR itu bersetuju penggunaan undang-undang terhadap syarikat yang menyebabkan jerebu dan seterusnya menyarankan cukai karbon kepada pihak yang menghasilkan pelepasan karbon dioksida yang paling.

"Pencemar tunggal terbesar di Malaysia daripada segi pelepasan karbon dioksida adalah pemilik loji janakuasa tenaga. Mereka menyumbangkan 80 peratus daripada pelepasan karbon di Malaysia.

"[...] keuntungan mereka melampau besarnya dan sangat memualkan! Itulah sebabnya mereka perlu membayar cukai karbon mengenai isu itu," katanya bersambut sorakan orang ramai tanda setuju.

Turut bercakap dalam bantahan hari ini ialah pelajar sekolah rendah 11 tahun, M Sasiharini, aktivis veteran Hishamuddin Rais, Presiden Jaringan Orang Asli Kelantan Mustafa Along dan pemimpin masyarakat Orang Asli Temiar Dendi Johari.
Demontrasi hari ini berakhir dengan aksi 'merebahkan diri' apabila para peserta berbaring seketika di jalanan manakala penyelaras Klima, Ili Nadiah Dzulfakar membacakan tuntutan mereka dengan lantang.

Bantahan iklim hari ini seiring dengan protes anak muda di seluruh dunia yang membantah sikap pihak berkuasa yang lembap bertindak dalam menangani kemusnahan alam sekitar.

Dipimpin oleh aktivis alam sekitar Sweden Greta Thunberg yang berusia 16 tahun, lebih 250,000 orang berdemontrasi di New York City semalam.

Laporan media menganggarkan kira-kira empat juta orang menyertai bantahan darurat iklim di seluruh dunia.

Tiada ulasan: