Jumaat, 20 September 2019

Petronas umum pelan penggantian susulan peletakan jawatan Anuar Taib

MALAYSIAKINI


  
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mengumumkan pelan penggantian tidak lama lagi berikutan peletakan jawatan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan Datuk Mohd Anuar Taib.

Pengerusi Datuk Ahmad Nizam Salleh hari ini turut mengesahkan Mohd Anuar akan meninggalkan syarikat minyak nasional itu minggu ini.

“Petronas mempunyai dasar pengekalan yang kuat, tetapi kami menghormati pilihan peribadi. Datuk Mohd Anuar telah memaklumkan kepada kami bahawa beliau mempunyai keutamaan peribadi (untuk meninggalkan Petronas), saya menghormati itu.

“Kami mempunyai pelan penggantian yang kukuh, dan langkah (peletakan jawatan Mohd Anuar) tidak memberi apa-apa impak kepada pelan perniagaan kami pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan separuh tahun Petronas berakhir 30 Jun, 2019, di Kuala Lumpur hari ini.

Laporan berita mengenai peletakan jawatan Mohd Anuar mula timbul pada Jun tahun ini, bagaimanapun, syarikat minyak nasional itu menafikannya.

Dilaporkan Mohd Anuar akan meninggalkan Petronas atas sebab peribadi.

Mohd Anuar, 51, membina kerjayanya dalam industri itu di syarikat minyak antarabangsa Shell dan menjadi Naib Presiden bagi Upstream International Asia dan Pengerusi Shell Malaysia sebelum menyertai Petronas pada 2012.- Bernama


Tiada ulasan: