Haji Aminuddin Yahaya
Memperkasakan produk muslim mampu pecahkan monopoli syarikat besar
SERUAN
menggalakkan masyarakat membeli produk Muslim sudah wujud sejak sekian
lama. Namun, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif untuk melancarkan secara rasmi pada 2
April yang lepas.
Kita hairan,
mengapakah kempen ini menjadi polemik 5 bulan selepas itu? Yang lebih
menghairankan lagi ialah polemik ini diperbesar dan dimainkan secara
bertubi-tubi dari ahli-ahli politik Pakatan Harapan. Seolah-olah kempen
ini telah ‘mengganggu’ kepentingan mereka.
Malah,
dengan segala kuasa dan pengaruh yang ada, mereka seolah-olah cuba
mensabotaj kempen ini dengan pelbagai label dan naratif. Paling sedih
sekali ialah apabila Menteri Agama tidak bersependapat dengan
mufti-mufti yang menyokong kempen ini secara tidak berbelah bahagi.
Dalam
penulisan kali ini, saya ingin menerangkan tentang kebaikan kempen ini
yang mana kempen ini sebenarnya menguntungkan banyak pihak.
Menyemai semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam
Melalui
kempen ini, semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam dapat dicapai
dengan prinsip tolong menolong sesama saudara Muslim. Ini terbukti
apabila satu kumpulan komuniti Facebook yang membincangkan mengenai
barangan Muslim ini mendapat sambutan yang luar biasa. Kini, kumpulan
komuniti Facebook tersebut sudah mencecah 1.6 juta keahlian.
Ahli-ahlinya
bersemangat berbincang dan berkongsi maklumat tentang barangan Muslim.
Ada yang berjumpa di lapangan untuk membuat kenalan dan ‘networking’.
Ada yang membuat poster-poster promosi produk milik orang lain yang
mereka tidak kenal pun tetapi secara sukarela dan sebagainya.
Inilah semangat perpaduan ummah yang saya maksudkan dalam penulisan saya sebelum ini.
Membantu meningkatkan kutipan zakat
Antara
slogan yang kita bawa ialah ‘menyokong peniaga pembayar zakat’. Kita
perlu ingat bahawa zakat bertujuan untuk memerangi kemiskinan. Pembayar
zakat adalah Muslim dan yang menerimanya adalah Muslim juga.
Logiknya
mudah, zakat pendapatan yang perlu dibayar adalah berdasarkan pendapatan
yang diperolehi. Jika pendapatan usahawan-usahawan Muslim meningkat
maka mereka perlu membayar zakat pendapatan yang lebih tinggi.
Kita sering
merungut dan menghentam pihak berkuasa zakat di mana ramai orang miskin
yang tidak mendapat bantuan dan sebagainya. Saya yakin, jika kutipan
zakat meningkat maka jumlah penerima zakat akan meningkat. Malah, jumlah
penerima tajaan pendidikan oleh institusi zakat juga akan meningkat.
Tidakkah
kita mahu membantu saudara-saudara kita yang miskin? Lebih-lebih lagi
melalui satu mekanisme yang disyariatkan oleh Islam, iaitu zakat.
Usaha untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum
Majoriti
besar umat Islam di Malaysia adalah dari kalangan Bumiputera. Maka,
kempen ini secara tidak langsung membantu orang-orang Bumiputera di mana
golongan ini jauh ketinggalan di belakang orang Cina dan India dari
aspek ekonominya.
Kita hanya
rakyat biasa, tiada kuasa untuk membuat polisi dan bantuan-bantuan
secara terus. Kempen inilah caranya untuk kita sebagai rakyat untuk
membantu negara dalam merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
Menghapuskan monopoli syarikat besar
Kita mahukan
keadilan dan monopoli dalam perniagaaan adalah satu perkara yang
bercanggah dengan prinsip keadilan. Fenomena ini memberikan
ketidakadilan kepada dua pihak, iaitu pengguna dan syarikat-syarikat
kecil.
Pengguna
akan terkesan dengan harga yang tinggi manakala syarikat-syarikat kecil
akan ‘dimatikan’ kerana persaingan di mana syarikat besar mempunyai
segala kelebihan dan kemampuan.
Cara yang
paling mudah untuk memecahkan monopoli oleh syarikat-syarikat besar
ialah mewujudkan satu suasana yang benar-benar kompetitif antara
syarikat besar dan kecil.
Rata-rata
syarikat kecil adalah milik Muslim. Maka, memperkasakan mereka mampu
memecahkan monopoli yang berlaku oleh syarikat-syarikat besar yang
akhirnya memberikan manfaat kepada para pengguna.
Mampu meningkatkan kualiti barangan keluaran Muslim
Peningkatan
pendapatan syarikat-syarikat Muslim akan memberikan peluang kepada
mereka untuk melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan
(R&D) produk mereka. Maka, sudah pasti kempen ini mampu membantu
meningkatkan kualiti barangan keluaran Muslim.
Segelintir
umat Islam yang begitu ‘anti’ dengan kempen ini dengan alasan kononnya
“produk Muslim tidak berkualiti” sepatutnya menyokong kempen ini jika
benar-benar peduli dengan kualiti produk.
Membantu Industri Kecil Sederhana
Syarikat dan
pengusaha kecil mempunyai hak untuk mendapat peluang peniagaan yang
selayaknya terutamanya dari segi pemasaran dan kapital. Kebanyakan
pengusaha kecil hanya memasarkan produk mereka di kedai-kedai runcit di
kawasan-kawasan terpencil.
Dengan
wujudnya kempen ini di akar umbi, secara tidak langsungnya kita membantu
meningkatkan promosi dan penjualan mereka melalui promosi di
media-media sosial dan platform-platform lain yang bakal diwujudkan.
Memperkasa Malaysia sebagai hub halal
Produk-produk
keluaran Muslim yang halal pasti memberikan impresi yang lain kerana
seorang yang beriman pasti mempunyai sensitiviti dan kefahaman yang
lebih mengenai prinsip-prinsip dalam Islam terutamanya dalam soal halal
dan haram.
Maka,
industri halal pastinya perlu dikuasai oleh Muslim. Malah, apabila
menteri mengumumkan bahawa majoriti produk halal utama adalah milik
syarikat bukan Muslim. Oleh itu, sebagai Muslim kita perlu berusaha agar
produk-produk keluaran Muslim diperkasakan menjadi produk-produk halal
yang terkemuka.
Menggalakkan rakyat berniaga
Kebimbangan rakyat biasa dalam memulakan perniagaan adalah mereka bimbang tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat besar.
Kementerian
Pembangunan Usahawan baru-baru ini menuduh bahawa bantuan kerajaan
adalah punca golongan Bumiputera kurang berniaga. Malah, kementerian
tersebut juga mahu menghentikan konvensyen buat usahawan Bumiputera. Ini
pastinya menambahkan lagi kebimbangan golongan tersebut. Akhirnya,
perniagaan milik Muslim masih lagi sedikit.
Kempen Beli
Produk Muslim ini sedikit sebanyak memberi semangat dan sokongan kepada
golongan ini untuk berniaga kerana kerajaan dilihat tidak lagi mahu
membantu mereka.
Sebenarnya
sudah terbukti Kempen Beli Produk Muslim ini memberi manfaat kepada
banyak pihak selain usahawan-usahawan Muslim. Banyak lagi kebaikan dan
bukti keberkesanan kempen ini yang masih belum kita nampak.
Kerajaan
tidak seharusnya mudah melatah dan menentang kempen ini tanpa usul
periksa. Kami masih menunggu kesediaan menteri-menteri untuk berjumpa
dengan pihak sekretariat untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan.
*Haji Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan