Dr Mohd Soberi Awang
Umat Islam perlu sekat fahaman Syiah bagi perkasa rahmatan lil 'alamin
1. MAJLIS Ulama ISMA
(MUIS) menyokong tindakan tegas JAIS yang menyekat sebarang doktrin
bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang cuba dipaksa ke atas
umat Islam di Malaysia, khususnya dalam isu serbuan terhadap penganut
sesat ajaran Syiah di Gombak baru-baru ini.
2. Tindakan tegas itu selaras dengan
antara peranan serta tanggungjawab utama ulil amri iaitu memelihara umat
Islam daripada sebarang fahaman bid’ah atau sesat yang boleh merosakkan
akidah umat Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 41:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى
ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ
بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ
ٱلۡأُمُور
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika
Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka
mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang
mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Oleh itu, mencegah fahaman sesat
antaranya seperti ajaran Syiah adalah memenuhi tanggungjawab nahi
mungkar yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah.
3. MUIS ingin menegaskan bahawa perbezaan
antara kita (Sunni) dan ajaran Syiah bukanlah pada perkara-perkara
furu’ (cabang), tetapi ia membabitkan berkaitan perkara-perkara usul
(asas) dalam akidah seorang Muslim. Bagaimana mungkin kita boleh
menerima mereka yang langsung tidak menghormati bahkan menghina sahabat
Nabi ﷺ?
Bagaimana mungkin kita mengiktiraf mereka
yang menokok tambah serta menyelewengkan isi kandungan al-Quran?
Bagaimana mungkin kita menerima mereka yang mengangkat manusia (imamah
Syiah) melebihi para Rasul sendiri? Inilah antara fahaman akidah sesat
ajaran Syiah yang cuba diserap ke dalam diri umat Islam.
4. Fahaman kononnya negara Malaysia tidak
menentukan bentuk Islamnya berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan
Persekutuan (PP) adalah suatu tuduhan tidak berasas. Memahami Islam di
Malaysia menurut PP bukanlah sekadar merujuk teks berkenaan, tetapi
perlu juga melihat kepada undang-undang negeri kerana secara umumnya
perkara berkaitan Islam adalah di bawah kuasa Negeri(Jadual Kesembilan,
PP).
Di sebut dalam Seksyen 2, Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bahawa yang dimaksudkan
‘Hukum Syarak’ ialah “mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana
satu Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali” atau yang disebut dalam
Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor sebagai “mazhab yang diiktiraf”.
5. Selain itu juga, autoriti berkaitan
tafsiran Islam di Malaysia adalah di bawah kuasa mufti-mufti atas
perkenan Sultan. Mufti Selangor pada 24 September 1998 dan terbaru pada
Oktober 2013 telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Syiah adalah
bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang perlu disekat
sepenuhnya.
Fatwa itu berdasarkan penyelewangan yang
dibawa oleh ajaran ini pada sudut akidah, Syariah dan lain-lain. Oleh
itu, serbuan yang dilakukan JAIS adalah berperlembagaan merujuk kepada
Seksyen 12(C), Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Maka ajaran Syiah
bukanlah salah satu daripada mazhab pegangan Islam di Malaysia.
6. Seruan mereka supaya Malaysia
mengikuti ‘The Amman Message’ yang dikeluarkan pada tahun 2004 juga
adalah satu seruan yang mengelirukan. Bukankah mereka sendiri yang
menyeru supaya Islam di Malaysia diamalkan berdasarkan keadaan, suasana
dan adat masyarakat yang tersendiri atau disebut sebagai Fiqh Malizi?
Tiba-tiba pada hari ini, mereka pula
menyeru supaya diambil bulat-bulat fahaman luar untuk dipaksakan ke atas
umat Islam Malaysia. Sepatutnya jika mereka benar ingin memperkasakan
Fiqh Malizi, mereka perlu memperkasakan institusi Mufti kerana merekalah
badan yang paling berautoriti dalam hal ehwal Islam di Malaysia.
7. Maka MUIS menyeru kepada seluruh umat
Islam pada semua peringkat sama ada pemimpin atau masyarakat awam
bersama-sama dalam memelihara Islam di Malaysia daripada sebarang
fahaman sesat yang boleh merosakkan fahaman asal Islam. Jika kita benar
jujur ingin melihat perpaduan umat Islam tercapai, antaranya adalah
dengan menyekat doktrin seperti ajaran Syiah yang boleh membawa
perpecahan dikalangan umat Islam.
Jika kita bersungguh-sungguh ingin
memperkasa gagasan rahmatan lil ‘alamin adalah dengan menyekat ajaran
ini kerana ia boleh merosakkan gambaran Islam yang sebenar untuk
dipersembahkan pada seluruh manusia.
Moga Allah memelihara umat Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah di Malaysia daripada sebarang finah yang menghancurkan.
Memandu masyarakat, mendaulat Syariat
*Dr Mohd Soberi Awang, Pengerusi MUIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan