RM100,000 hingga RM600,000 dikenakan untuk miliki kad pengenalan
GEORGE TOWN– Polis sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket yang disyaki
terbabit dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan
(Mykad) secara tidak sah, dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T.
Narenasegaran hari ini, berkata, masih terdapat lagi saki baki anggota
sindiket berkenaan yang dipercayai masih bersembunyi ketika ini dan
siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.
“Walaupun enam orang, termasuk pegawai
kanan JPN yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan telah didakwa
di mahkamah hari ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut kes
berkenaan kerana kami percaya masih terdapat lagi anggota sindiket
berkenaan.
“Polis juga sedang mengesan pembeli Mykad
dan sijil kelahiran daripada sindiket itu dan meminta mereka yang
pernah membeli (dokumen-dokumen pengenalan ini) untuk tampil membantu
siasatan,” katanya kepada pemberita, selepas Majlis Pelancaran E-Bicycle
dan Penugasan Strategik Unit Polis Pelancong di Lapangan Terbang
Antarabangsa Pulau Pinang di sini.
Beliau mengulas berhubung penahanan 20
individu termasuk seorang pegawai kanan JPN yang disyaki terbabit dengan
aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak
sah di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit
Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, suspek yang ditahan di
Pulau Pinang 19 Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita
tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang
lelaki warga India.
Sementara itu, Narenasegaran berkata,
Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah
(JSJ) Bukit Aman mengambil masa lebih tiga bulan untuk menjalankan
risikan serta siasatan berhubung kegiatan itu sebelum berjaya membongkar
sindiket berkenaan.
Katanya, pihaknya juga masih menyiasat
sejak bila dan berapa banyak Mykad dan sijil kelahiran yang telah dijual
kepada warga asing oleh sindiket berkenaan.
“Sindiket itu mengenakan bayaran yang
tinggi iaitu bermula antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga
asing yang ingin memiliki MyKad atau sijil kelahiran berkenaan, dan kami
percaya kegiatan mereka (sindiket) sangat teliti bagi mengelak dikesan
pihak berkuasa,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan