Gagal faham bahasa Melayu punca terbongkar kes MyKad tidak sah
PUTRAJAYA
– Tingkah laku seorang wanita yang hanya tersenyum setiap kali soalan
diajukan kepadanya, menyebabkan pegawai Imigresen mengesyaki individu
Cina yang berada di hadapannya untuk memohon passport antarabangsa
Malaysia itu sebenarnya bukan rakyat tempatan.
Walaupuna wanita berkenaan menyerahkan
Mykad yang didakwa miliknya kepada pegawai Imigresen ketika ingin
memohon pasport antarabangsa, namun dia gagal untuk menjawab soalan yang
diajukannya dalam bahasa Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul
Dzaimee Daud berkata, kes di pejabat imigresen di Pulau Pinang itu
adalah yang pertama tahun ini, yang membawa kepada pembongkaran kegiatan
pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.
Bercakap kepada Bernama di pejabatnya di sini, beliau berkata, kes itu kini di bawah siasatan polis.
Menceritakan bagaimana pegawainya
mengesan penipuan itu, Khairul Dzaimee berkata, kejadian bermula apabila
rakyat China itu datang ke kaunter Imigresen memohon untuk membuat
pasport antarabangsa Malaysia dan menyerahkan MyKad miliknya untuk
diteliti oleh pegawai Imigresen.
“Apabila pegawai Imigresen bertanyakan
soalan, dia gagal menjawab kerana tidak menguasai bahasa Malaysia…tidak
boleh menjawab satu soalan (pun) yang dikemukakan, jadi timbul syak
wasangka pegawai Imigresen yang bertugas,” katanya.
Beliau berkata, berikutan itu pegawai
Imigresen berkenaan membuat laporan kepada polis mengesyaki MyKad yang
diguna oleh warga China itu diperoleh secara tidak sah.
“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana
masih dalam siasatan polis, tetapi ia bermula daripada laporan yang
dibuat oleh pegawai Imigresen itu,” katanya.
Susulan laporan, wanita itu ditahan polis
sebelum dituduh di mahkamah, dan susulan itu Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN) membuat laporan polis mengenai kegiatan pengeluaran sijil
kelahiran dan kad pengenalan secara penipuan, yang berlaku di JPN Pulau
Pinang.
Polis kemudian membuat risikan dan
mendapati wujud rangkaian sindiket yang didalangi beberapa individu,
terbabit dalam membuat, memperolehi, menjual dan memiliki dokumen
pengenalan diri serta sijil lahir palsu, bertujuan mendapatkan dokumen
perjalanan bagi memudahkan perbuatan keluar masuk Malaysia oleh individu
yang bukan warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menahan 20
individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang
disyaki terbabit dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad
pengenalan secara tidak sah.
Mereka yang ditahan di Pulau Pinang 19
Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang
lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India,
dan hari ini, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang dan lima individu
didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berkaitan kes sijil lahir
dan MyKad yang tidak sah. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan