Ahad, 15 September 2019

PM semak dakwaan k'jaan lulus projek RM450j melalui rundingan terus


   

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menyemak dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) meluluskan projek RM450 juta di Kota Baru, Kelantan melalui rundingan terus.

Perdana menteri berkata beliau langsung tidak tahu mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu, saya tidak pernah luluskan apa-apa. Tetapi saya perlu semak mengenai perkara ini.
"Mungkin mereka mendapatnya pada masa lalu, mungkin ia kesinambungan.

"Saya tidak tahu kes ini yang mana," kata Mahathir dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri kejohanan Putrajaya Race Boat 2019 di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya mengenai surat yang dikatakan daripada Kementerian Kewangan yang mendakwa Perdana Menteri telah menulis sepucuk surat pada 9 Julai mengenai kelulusan projek berkenaan secara rundingan terus.

Surat bertarikh 26 Julai itu yang tersebar di media sosial mengatakan Kementerian Kewangan bersetuju syarikat tertentu dilantik melalui rundingan terus bagi pembinaan bangunan Gunasama Persekutuan di Tunjong, Kota Bharu Kelantan dengan kos RM450 juta.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii menyiarkan gambar surat berkenaan dengan satu siri soalan di Twitter hari ini.

"Saya nak tanya pada Kementerian Kewangan, adakah surat ini palsu? Kenapa ada lagi rundingan terus?

"Apa logik projek ini untuk diberi rundingan terus? Siapakah empunya projek ini?" soal beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Mahathir berkata kerajaan mempunyai rancangan jangka panjang untuk menangani isu jerebu tetapi ia mustahil tanpa kerjasama dari negara-negara lain yang terlibat.

"Kita sentiasa mahukan pelan jangka panjang, tetapi ia memerlukan kerjasama dari negara-negara lain supaya sehingga kita mendapatkan kerjasama, ia tidak mungkin bagi kita untuk mempunyai apa-apa rancangan.

"Kerjasama dengan Indonesia dan negara-negara lain mungkin," katanya.


Tiada ulasan: