Isnin, 9 September 2019

Pertahan kalimah ummah demi tauhid, kata pensyarah

MALAYSIAKINI

   

Beberapa hari menjelang PAS dan Umno mencatat sejarah menandatangani piagam bersama, seorang pensyarah mempertahankan kewajaran kedua-dua pihak mengekalkan istilah "penyatuan ummah" untuk memaknakan detik tersebut.

Pakar sosiologi pendidikan, Dr Zulkeflee Yaacob, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyifatkan perkataan ummah lebih serasi digunakan dan lebih menjiwai umat Islam.

"Ummah dapat menyatukan masyarakat Islam dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Saya rasa ada permainan politik retorik ketika orang Melayu sudah bersedia mendukung perjuangan Umno dan PAS atas nama penyatuan ummah.

“Jangan pula mencari alasan menggantikan penyatuan ummah atas nama lain termasuk piagam nasional atas tuntutan waktu," katanya seperti dilapor harakahdaily hari ini.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, projek kerjasama Umno dan PAS yang bertemakan perpaduan ummah mungkin ditukar kepada perpaduan nasional untuk menjadikan ia lebih inklusif
kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurut sumber, dengan penggunaan kalimah "ummah" ada pihak dalam parti terbabit bimbang ia disalahertikan kepada agenda khusus untuk orang Islam semata-mata.

Sedangkan, katanya, kerjasama tersebut dibina dengan merangkumi rakyat Malaysia berbilang kaum.

Pada 31 Ogos lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan , memaklumkan pihaknya memutuskan untuk menukar tema penyatuan ummah - yang digunakan secara meluas ketika ini - kepada nama lain.

Menurut Mohamad, perkara itu diputuskan ekoran terdapat pertikaian berhubung tema tersebut, selain mahu menggambarkan penyertaan semua kaum di negara ini.

Ekoran laporan Malaysiakini itu juga, PAS dan Umno menjadi bahan persendaan penyokong kerajaan kerana dilihat terpaksa tunduk kepada kehendak parti lain seperti MCA dan MIC.

Zulkeflee berkata Umno dan PAS perlu konsisten untuk mengekalkan istilah ummah sebagai tanda kemenangan moral dan tauhid.


Tiada ulasan: