Ahad, 15 September 2019

Media kini berjuang untuk 'bernafas'


   

Organisasi media berjuang untuk 'terus bernafas' susulan perubahan trend penggunaan media dan pada masa sama penglibatan gergasi teknologi antarabangsa.

Ketua pengarang Malaysiakini Steven Gan, pengurus besar Karangkraf Ahmad Nazri, editor Astro Awani Melisa Idris dan editor Star Online A Asohan berkongsi pandangan mereka di forum "Who's Killing Malaysian Media?" anjuran Malaysian Institute for Debate and Public Speaking di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Menurut Melisa, landskap media sudah berubah dan kini perlu menyesuaikan diri dengan kitaran berita 24 jam dan pada masa sama berdepan dengan media sosial.

"Ini bermakna penyebaran berita sepanjang 24 jam. Pada masa sama berlaku kebangkitan media sosial di mana semua orang ada pandangan sendiri...Perkara kecil menjadi berita utama (tetapi) wartawan dibataskan dengan kekangan masa," katanya.

Menyatakan sentimen yang sama, Asohan berkata, "kita perlu dapatkan berita dengan cepat. Tetapi sebaik saja kita dapat mengesahkan maklumat tertentu, khabar angin telah tersebar di media sosial dan ia mungkin tak tepat."

Beliau juga menekankan kepentingan untuk membaca keseluruhan berita berbanding membaca beberapa maklumat terutama di media sosial.

Mengulas keadaan kewangan dalam industri media, Gan berkata gergasi teknologi seperti Facebook dan Google memberi kesan kepada perniagaan media atas talian.

"Organisasi media tidak mampu bersaing dengan syarikat ini. Mereka tahu sasaran mereka, dan pergi ke pemilik perniagaan dan berkata: 'Kami boleh memberikan anda golongan yang kemungkinan besar akan membeli produk anda'.

"Dalam hal ini organisasi media seperti kami tidak mampu bersaing (untuk mendapat pengiklan)," katanya lagi.

Nazri pula membuat kesimpulan bahawa media bercetak 'sudah mati' kerana "tiada jalan lagi untuk membuat keuntungan".

"Dalam masa lima hingga sepuluh tahun, kita tak akan lihat lagi akhbar dan majalah bercetak," katanya.

Katanya lagi, organisasi media perlu memikirkan jalan untuk menggunakan platform atas talian untuk membuat keuntungan dan faktor utama ialah mengetahu golongan sasaran.

Setakat ini, menurut Nazri, proses itu tidak sepenuhnya berjaya.

"Kami perlu melabur dalam teknologi tertentu untuk mendapatkan data. Kami perlu guna pelbagai program untuk belajar tentang audiens kami. Tetapi ia tak sepenuhnya berjaya... Kami banyak melabur dalam teknologi tetapi pulangan pelaburan tidak ada," katanya lagi.

Melissa berkata pengguna media perlu menukar cara pandangan mereka daripada mendapatkan berita secara percuma kepada melanggan.

"Kita sudah terbiasa mendapat berita percuma di internet. Jadi bila dikenakan bayaran, kita akan tanya 'mengapa saya perlu bayar?'.

"Jika anda boleh bayar untuk streaming muzik dan filem, mengapa tidak melanggan untuk berita?" soalnya.


Tiada ulasan: